Pada awal tahun ini kita digemparkan dengan berita kematian dua orang pelakon tanah air iaitu Abam Bocey dan Ashraf Sinclair. Kematian mereka bukanlah disebabkan oleh penyakit kronik tetapi secara mengejut. Tentunya ini menjadi tanda tanya ramai, apakah antara punca sebenar kematian mereka? Semestinya salah satunya berpunca daripada masalah jantung.
Apakah fungsi jantung sebenarnya? Fungsi jantung adalah untuk mengepam darah ke seluruh badan dan untuk jantung terus mengepam darah, ia memerlukan oksigen dan nutrisi yang mencukupi. Terdapat tiga salur darah utama untuk membekalkan oksigen dan nutrisi.
Apa jadi bila salur darah utama ini tersumbat? Ia menyebabkan jantung tak dapat oksigen dan nutrisi yang cukup. Sel-sel otot jantung akan mati dan otot jantung akan lebam. Apa kita rasa kalau ada lebam dekat bahagian badan? Sakit kan? Macam tu juga jantung. Bila dah lebam, akan rasa
1. sakit pada bahagian kiri dada.
2. sakit di bahagian kiri tangan.
3. mula berpeluh-peluh dan sesak nafas.
Apakah faktor utama kepada masalah jantung ini? Sudah tentu faktor utama adalah kolesterol. Bila dah terlalu banyak kolesterol dalam badan, ia akan mendap. Disebabkan salur darah ke jantung lebih kecil berbanding dengan salur darah yang lain, maka ia berisiko tinggi untuk menjadi tempat utama mendapan kolesterol.
Keduanya ialah faktor pemakanan. Pemakanan tak sihat dan berminyak seperti fast food, mamak dan macam-macam lagilah yang akhirnya menyebabkan mendapan kolesterol.
Tambahan pula, sekarang ni dah ada kemudahan seperti grab food, foodpanda, lagilah senang dapat makanan tak sihat ni.
Ada juga yang cakap, dia aktif bersukan, bolehlah makan apa yang dia nak. Pernah dengar atau terbaca berita mati mengejut ketika sedang bersukan? Dan berita yang paling terbaru yang berlaku pada awal tahun ini ialah seorang pengarah muzik meninggal selepas balik berjogging. Jadi, adakah anda yakin bahawa aktiviti fizikal sahaja mampu mengurangkan risiko serangan jantung tanpa menjaga pemakanan? Tepuk dada, tanya selera.
Faktor ketiga ialah faktor genetik yang juga memainkan peranan. Dah la pemakanan tak sihat, ada pula faktor keluarga, lagi la bertambah tinggi risiko.
Dah terlalu ramai yang mati disebabkan sakit jantung. Pada tahun 2018 sahaja, sebanyak 172,031 kematian disebabkan serangan jantung telah direkodkan dan pada tahun 2019 jumlah kematian meningkat sebanyak 35.3 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Bukankah ini menakutkan? Adakah anda mahu menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik kematian pada tahun 2020? Jika tidak, marikan kita sama-sama ubah cara hidup kita. Pilih pemakanan yang sihat dan bersenam sekurang-kurangnya 3 kali sehari serta ikut kemampuan. Jika orang lain boleh, anda juga boleh. Bak kata pepatah, dimana ada kemahuan disitu ada jalan.