Resdung atau ‘Allergic Rhinitis’ atau ‘Allergic Rhinosinusitis’ berlaku disebabkan oleh terdedah kepada benda asing atau alergen di udara ke dalam badan dan membuatkan sistem immun bertindak balas terhadap alergen tersebut. Ini akan menyebabkan perembesan bahan kimia semula jadi yang dikenali sebagai histamine di dinding-dinding di dalam hidung (membran mucosa) yang akan menyebabkan keradangan pada membran. Ia juga membawa kepada penghasilan lendir (hingus) yang banyak dan kerap bersin untuk memerangkap dan menghalang alergen dari terus masuk ke dalam badan melalui laluan pernafasan.

Sumber: maskulin.com

Punca sebenar resdung adalah disebabkan oleh alahan terhadap alergen yang masuk ke dalam rongga hidung. Alergen ini sebenarnya tidaklah terlalu merbahaya untuk badan, tetapi disebabkan oleh alahan terhadap alergen tersebut menyebabkan sistem immun menjadi terlalu sensitif dan melihat alergen ini sebagai suatu benda asing yang merbahaya. Namun, alahan terhadap makanan jarang menyebabkan gejala yang berkaitan dengan hidung. Terdapat juga punca-punca bukan alahan bagi resdung seperti asap rokok atau asap lain, minyak wangi, produk pencuci dan bau lain yang kuat.

Sumber: fitonasal2act.com

Antara contoh alergen termasuklah
1) Debunga rumput atau bunga
2) Hama debu daripada karpet, langsir, anak patung yang berbulu
3) Bulu haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing
4) Hama daripada serangga seperti lipas, kupu-kupu
5) Kulat atau kulapuk

Individu yang ada masalah resdung akan mengalami satu atau lebih gejala-gejala resdung yang berlaku serta merta selepas terdedah dengan alergen. Antara gejala-gejala resdung ialah
1) Bersin
2) Hidung berair ± tersumbat ± gatal
3) Batuk
4) Sakit atau gatal tekak
5) Mata berair ± gatal
6) Kulit kering dan gatal
7) Gegata atau ‘ Hives’
8) Sakit kepala dan letih

Resdung boleh dirawat dan dihilangkan dengan beberapa cara termasuklah ubat-ubatan yang diberi oleh doktor perubatan serta rawatan alternatif. Namun begitu, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu untuk mengetahui ubat yang bersesuaian dan memastikan anda bebas dari penyakit lain sebelum mencuba rawatan alternatif.

Antara ubat yang sering diberikan oleh doktor perubatan termasuklah
1) Antihistamin
Antihistamin berfungsi menghentikan penghasilan histamin oleh badan supaya gejala resdung dapat dikurangkan. Antihistamin terbahagi kepada dua iaitu generasi pertama dan generasi kedua. Perbezaan antara kedua-dua generasi ini ialah generasi kedua kurang kesan sampingan daripada generasi pertama seperti tidak mengantuk. Generasi pertama antihistamin termasuklah Diphenhydramine manakala generasi kedua antihistamin termasuklah Loratadine, Cetirizine, Levocetirizine, Fexofenadine dan desloratadine.

2) Decongestant
Decongestant berfungsi melegakan hidung tersumbat. Antara decongestant yang selalu digunakan termasuklah Oxymetazoline, Pseudoephedrine, Phenylephrine, Cetirizine + pseudoephedrine. Ubat ini hanya boleh digunakan dalam tempoh masa yang singkat sahaja kerana kesan sampingannya iaitu ‘rebound effect’. ‘Rebound effect’ bermaksud, jika anda berhenti menggunakan ubat ini, gejala akan menjadi lebih teruk. Anda hendaklah mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat ini terutamanya bagi pesakit jantung, degupan jantung tidak normal, gangguan tidur, tekanan darah tinggi atau masalah pundi kencing.

3) Ubat titis mata dan semburan hidung
Seperti ‘decongestant’, kedua-dua ubat ini juga hanya boleh digunakan dalam tempoh masa yang singkat kerana kesan sampingannya iaitu ‘rebound effect’. Anda juga perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mengambil ubat ini.

Leave a Comment on APAKAH ITU RESDUNG DAN CARA RAWATANNYA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *