Seperti yang kita sedia maklum, kes Covid-19 di Malaysia semakin berkurangan. Dengan hasil usaha dari frontliners dan sokongan daripada rakyat Malaysia. kes terbaharu setakat ini hanya tinggal satu angka sahaja. Syabas kami ucapkan. Ilmu asas mengenai virus Covid-19 ini sedikit sebanyak sudah difahami oleh kita. Namun begitu, cuba anda lihat kembali gejala-gejala yang dialami oleh setiap pesakit yang disahkan positif adalah berbeza. Walhal mereka diserang dengan virus yang sama tetapi, mengapa kesannya berbeza? Pernah tak anda terfikir tentang hal ni? Baiklah, mari saya kupas secara ringkas mengenai isu ini.
Gejala yang dialami adalah sangat bergantung dengan tahap imuniti seseorang. Memang benar, semua pesakit diserang dengan virus yang sama serta mekanisme yang sama. Akan tetapi, tahap imuniti seseorang yang dipengaruhi oleh genetik, kesihatan, cara kehidupan serta pemakanan, membuatkan tindak balas terhadap virus ini oleh setiap individu adalah berbeza. Pada awal proses jangkitan, individu yang dijangkiti terkena cecair daripada bersin atau batuk yang mengandungi virus, seterusnya memasuki saluran pernafasan apabila individu terbabit menyentuh mata, hidung dan mulut.Saluran pernafasan bermula dari hidung sehinggalah ke unit yang paling kecil iaitu bronkiole, dimana berlakunya pertukaran oksigen dan karbon dioksida
Jika kita teliti dengan lebih lanjut akan struktur virus ini sendiri, di permukaan virus COVID-19, terdapat struktur berbentuk seakan-akan paku. Struktur ini membolehkan ia melekat pada sel di permukaan saluran pernafasan dan mula mengganggu fisiologi normal dan lama-kelamaan sel mula rosak. Badan kita akan mula bertindak balas ke atas penceroboh kecil ini dengan meningkatkan suhu badan bagi merencatkan virus ini. Hal ini kerana, virus memerlukan suhu yang optimum untuk berkerja. Maka, demam dengan suhu lebih daripada 37.5 merupakan antara simptom lazim bagi jangkitan ini. Selain demam, batuk juga gejala yang lazim berlaku. Hal ini kerana, virus ini mendominasi saluran pernafasan seseorang. Batuk juga merupakan tindak balas badan untuk membuang virus daripada saluran pernafasan. Oleh kerana itu, kita acapkali ditegaskan agar mengamalan etika batuk yang betul bagi mencegah penularan virus ini.
Jika seseorang memiliki daya tahan imuniti yang baik, virus ini hanya menjangkiti bahagian atas saluran pernafasan dan akan mengalami gejala lazim atau mungkin juga tidak menunjukkan apa-apa gejala serta antibodi yang dihasilkan oleh badan mampu membuang dan membunuh virus ini. Namun begitu, 2 daripada 10 kes akan mengalami gejala yang lebih parah. Bagaimanakah perkara ini berlaku?
Jika individu yang dijangkiti mempunyai tahap imuniti yang lemah, virus ini akan menjangkiti saluran pernafasan di bahagian bawah iaitu paru-paru termasuklah bronkiole. Maka gejala yang lebih serius seperti sesak nafas.
Hasil daripada tindak balas terhadap virus ini, laluan pernafasan akan mula mengembang dan dipenuhi dengan air. Keadaan ini dipanggil Pneumonia dan ia mengganggu proses pertukaran oksigen dan karbon dioksida. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan acute respiratory distress syndrome (ARDS). Keadaan ini menyebabkan seseorang sukar untuk bernafas dan memerlukan rawatan khas di unit rawatan rapi hospital. Sekiranya masalah ini tidak ditangani, satu per satu organ dalam tubuh badan akan mati dan seterusnya membawa maut. Maka, sekiranya anda mengalami simptom yang telah dinyatakan dalam penulisan ini, sila berjumpa dengan doktor dengan kadar segera.