NETIZEN DAKWA HAND SANITIZER BERASASKAN ALKOHOL AKAN MENYEBABKAN KEBAKARAN BILA BERADA DEKAT DENGAN API; INI KEBENARANNYA.
Sedang seluruh dunia panik dengan peningkatan kes wabak COVID-19, terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tidak rasa bersalahnya telah menyebarkan informasi dan berita palsu yang boleh membuatkan orang ramai semakin panik. Baru-baru ini telah tersebar berita bersama sekeping gambar yang menunjukkan tangan seorang wanita melecur dan dia didakwa telah menggunakan hand sanitizer jenis alkohol dan pergi ke dapur untuk memasak sebelum tangannya di sambar api. Adakah berita ini benar?
Sebelum berita ini dikupas dengan lebih lanjut, sebaiknya anda mempunyai sedikit ilmu mengenai hand sanitizer. Terdapat dua jenis utama ‘hand sanitizer’ iaitu berasaskan alkohol dan bukan berasaskan alkohol.
HAND SANITIZER BERASASKAN ALKOHOL
Hand sanitizer berasaskan alkohol ini mempunyai jenis dan nilai peratus alkohol yang berbeza serta boleh di dapati di dalam dua bentuk iaitu cecair dan gel.. Antara jenis alkohol yang terdapat dalam hand sanitizer yang berada di pasaran termasuk isopropyl, ethanol dan n-propanol. Ketiga-tiga jenis alkohol ini sangat efektif dalam membasmi kuman sehingga 99.9%. Nilai peratus alkohol yang disyorkan oleh global health organization seperti CDC dan WHO ialah daripada 60% sehingga 95%. Semakin tinggi nilai peratus, semakin rendah takat didih atau ‘boiling point’. Dan semakin rendah takat didih, semakin senang alkohol tersejat. Okay, secara fiziknya, menggosok tangan atau ‘hand rubbing’ akan menghasilkan haba, kan? Jadi, dengan menggosok tangan sahaja, alkohol di dalam hand sanitizer mampu tersejat. Seperti produk-produk kesihatan dan kecantikkan yang lain, hand sanitizer juga mempunyai kesan sampingan. Hand sanitizer berasaskan alkohol boleh membuatkan tangan anda menjadi kering dan untuk sesetengah individu boleh menyebabkan keradangan pada kulit, contohnya, dermatitis. Selain itu, ia juga akan menjadi racun jika diminum dalam kuantiti yang banyak. Disebabkan bahan utama adalah alkohol, semestinya ianya mudah terbakar. Tetapi, seperti yang di terangkan di atas, alkohol di dalam hand sanitizer sangat senang tersejat.
HAND SANITIZER BUKAN BERASASKAN ALKOHOL
Disebabkan oleh kesan sampingan ini, hand sanitizer bukan berasaskan alkohol telah direka khas untuk individu yang sensitif akan alkohol. Nama pun hand sanitizer bukan berasaskan alkohol, maksudnya hand sanitizer ini tidak mengandungi alkohol sebaliknya bahan utama yang digunakan ialah benzalkonium chloride iaitu sejenis bahan dari kumpulan ‘quaternary ammonium compound’ yang mempunyai fungsi sebagai anti septik dan mampu membunuh kuman tetapi ianya tidaklah sebagus alkohol. Hand sanitizer bukan berasaskan alkohol ini boleh di dapati di dalam bentuk buih atau ‘foam’ dan gel.
YANG MANA SATU YANG DISYORKAN?
Menurut CDC dan WHO, hand sanitizer yang disyorkan adalah hand sanitizer berasaskan alkohol. Walaupun ianya mempunyai kesan sampingan, namun keberkesanannya dalam membunuh bakteria dan virus yang berjangkit berbanding dengan hand sanitizer bukan berasaskan alkohol membuatkan ianya pilihan yang paling tepat terutamanya pada musim penyakit berjangkit seperti COVID-19 ini.
Namun begitu, membasuh tangan menggunakan sabun adalah ‘gold standard’ dan yang paling bagus dan disyorkan dalam membunuh kuman. Kuasa membunuh kuman dengan membasuh tangan menggunakan sabun adalah lebih bagus dari menggunakan hand sanitizer.
JADI, BETULKAH BERITA YANG DIVIRALKAN TU?
Berbalik kepada berita tangan terbakar disebabkan hand sanitizer berasaskan alkohol yang dah viral tu. Disebabkan sekarang anda dah ada ilmu mengenai hand sanitizer, apa pendapat anda mengenai isu ini?
Seperti yang dah di nyatakan di atas, alkohol sememangnya bahan yang mudah terbakar, akan tetapi, disebabkan sifatnya yang mudah tersejat hanya dalam masa 10 saat membuatkan ianya sangat mustahil untuk terbakar. Namun begitu, jika hand sanitizer yang dalam botol tu dinyalakan api, ianya tidak mustahil untuk terbakar sebab tak tersejat lagi. Tapi jangan pula anda cuba buat ya. Kalau nak di ikutkan, bukan hand sanitizer sahaja yang mengandungi alkohol dan boleh terbakar, deodorant dan cecair kumur mulut pun mudah terbakar bila dinyalakan api kerana ianya juga mengandungi alkohol.
Jadi, janganlah kita menerima sahaja berita-berita palsu yang disebarkan tanpa unsur periksa dan tanpa membuat sedikit pembacaan. Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk menerima informasi atau berita yang dikeluarkan oleh individu atau kumpulan yang boleh dipercayai sahaja seperti kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan doktor-doktor yang bertauliah. Jadilah pembaca yang bijak dan jaga kesihatan anda.