Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata atau anak mereka
sendiri terutamanya bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Dalam
keterujaan untuk menimang cahaya mata, pasangan ini perlu mempunyai sedikit ilmu
dalam pelbagai hal yang melibatkan penjagaan anak terutamanya ketika bayi. Antara
salah satu ilmu yang perlu dipelajari adalah teknik penyusuan yang betul. Bukan
memasak atau bersolek sahaja yang memerlukan teknik ya, menyusukan bayi juga
memerlukan teknik yang betul.
Sebelum kita mempelajari teknik penyusuan yang betul, mari kita fahami bagaimana
susu ibu terhasil. Ketika hamil, hormon prolaktin akan dihasilkan dan berfungsi untuk
merangsang penghasilan susu badan oleh kelenjar payudara. Susu yang dihasilkan
akan disimpan dalam struktur yang seakan-akan gugusan anggur (alveoli) dan ianya
bersambung dengan saluran yang diberi nama duktus. Duktus ini merupakan saluran
yang mengalirkan air susu keluar dari badan melalui puting. Susu badan ini terhasil
daripada sumber zat dalam badan ibu seperti lemak, protein dan juga gula.
Bagaimana susu badan akan keluar? Ketika bayi menghisap puting, hormon oksitosin
akan dirembeskan. Hormon ini berfungsi untuk merangsang pengaliran air susu. Selain
itu, hormon ini juga bertujuan untuk meningkatkan kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Untuk pengetahuan anda, susu ibu mempunyai banyak khasiat bukan sahaja dari segi
nutrisi pemakanan malah untuk ketahanan badan. Berdasarkan saranan World Health
Organisation (WHO), bayi seharusnya mendapatkan susu ibu sekurang-kurangya
selama 6 bulan sejak dari lahir. Antara kandungan susu ibu yang berkhasiat
termasuklah
● Protein untuk pertumbuhan sel badan
● Antibodi aktif untuk ketahanan imuniti bayi
● Laktosa dan lemak untuk sumber tenaga dan karbohidrat
● Zat untuk perkembangan fizikal dan mental bayi seperti zat besi, vitamin C,
vitamin B kompleks dan vitamin K
Selain kebaikan untuk bayi, susu ibu juga mempunyai kebaikan kepada ibu itu sendiri
seperti
● Proses pengecutan rahim berlaku dengan cepat
● Mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari
● Kaedah natural perancangan keluarga sekaligus menjarakkan kehamilan
Ramai ibu-ibu yang mengalami masalah penghasilan susu badan yang sedikit
terutamanya bagi ibu kepada anak pertama. Banyak faktor yang mengumbang kepada
masalah ini dan salah satunya adalah disebabkan teknik yang salah. Antara teknik
penyusuan yang betul adalah seperti berikut
1) Ibu boleh menyusukan anak dengan posisi baring atau duduk
2) Rapatkan bayi pada payudara
3) Pastikan badan dan kepala anak ke arah dada ibu
4) Pegang bayi dengan erat dan gunakan bantal untuk menyokong badan bayi
5) Pegang payudara dan arahkan puting ke bahagian mulut bayi
Setelah teknik yang betul dilakukan, ibu boleh mengenalpasti tanda bayi menyusu
dengan betul. Ini termasuklah
1) Mulut bayi terbuka luas dan lebar
2) Dagu bayi bersentuhan dengan payudara
3) Bayi masih boleh untuk bernafas walaupun hidung bayi terletak pada payudara
4) Cara bayi menghisap yang mendalam dan perlahan
5) Kadang-kadang ibu boleh mendengar bunyi bayi menghisap susu
Namun, jika ibu masih mempunyai masalah dengan cara penyusuan bayi yang betul,
ibu disaran untuk mendapatkan konsultasi daripada pakar kanak-kanak yang berdekatan.