Dilema anak muda sekarang setelah tamat pengajian.Tahniah Miss G ucapkan! Anda baru mula bekerja pastinya anda akan terfikir sama ada anda ingin memiliki sebuah kereta ataupun rumah sendiri bagi kehidupan yang lebih selesa. Kalau nak ikutkan keperluan semestinya kereta bukan? Yelah kan sebab dah kerja pasti memerlukan transport untuk bergerak kesana dan kesini.Kalau ikut nafsu mestilah nak pakai kereta yang nampak sporty dan mahal. Tetapi dilema pulak bila fikir tentang harga rumah yang makin meningkat naik dan tak turun-turun.
Kebanyakan kita menyedari bahawa membeli rumah lebih digalakkan sebagai jaminan pelaburan disebabkan nilai pasarannya yang akan meningkat malah boleh dijadikan kediaman sendiri pada masa hadapan. Berlainan pula dengan kereta yang mana nilai pasarannya akan menyusut setiap tahun. Tetapi, disebabkan proses pembelian rumah yang rumit ditambah pula dengan nilai pelaburan yang tinggi, ia membuatkan sebahagian besar golongan muda memilih untuk membeli kereta terlebih dahulu.
Walaupun membeli rumah merupakan keputusan yang arif, namun tidak semestinya ia keputusan yang tepat bagi setiap individu. Lain orang, lain keinginannya. Usah risau, ikuti tips-tips berikut untuk membantu anda membuat keputusan yang terbaik.
1. TELITI KOS KESELURUHAN
Terutama sekali, anda haruslah meneliti kos keseluruhan bagi pembelian kereta atau rumah impian anda. Jangan hanya memikirkan harga yang ditawarkan sahaja kerana terdapat pelbagai kos-kos tambahan yang perlu disertakan dengan setiap pembelian kereta mahupun rumah seperti kos penyelenggaraan, insurans dan sebagainya.
Sebagai contoh, sekiranya anda membeli kereta, anda perlu menampung kos pembayaran insurans dan cukai jalan tahunan, dan juga kos servis kenderaan bagi tempoh yang ditetapkan. Bagi pembelian rumah pula, anda perlu menanggung kos pengubahsuaian, kos penyelenggaraan bulanan (jika ada), cukai pintu dan lain-lain. Selepas meneliti kos-kos yang berkenaan, tanya pada diri sendiri adakah anda mampu untuk memikul tanggungjawab pembayaran tersebut?
2. BUAT PENGIRAAN GAJI DAN SIMPANAN ANDA
Semasa membuat pertimbangan, fikirkan juga komitmen bulanan anda dan wang lebihan untuk simpanan atau ‘tabung kecemasan.’ Mengikut ‘Rule of Thumb,’ sebanyak 50 peratus (maksimum) daripada pendapatan bersih boleh digunakan untuk membayar ansuran perumahan, kereta, bil-bil, dan insurans manakala 30 peratus lagi untuk keperluan lain seperti aktiviti riadah dan sebagainya. Anda juga digalakkan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pendapatan bulanan anda untuk waktu kecemasan.
Sebagai contoh, pendapatan bulanan anda adalah RM4,000 dan selepas ditolak cukai bulanan, bayaran KWSP dan SOCSO, gaji bersih yang diperoleh adalah sekitar RM3500. Mengikut ‘Rule of Thumb’, anda perlu mengasingkan 20 peratus (RM700) untuk tabung kecemasan dan 30 peratus (RM1,050) untuk keperluan lain seperti hobi, beli-belah dan aktiviti lain. Selepas mengasingkan 50 peratus daripada gaji bersih, anda mempunyai 50 peratus lagi iaitu RM1,750 yang diperuntukkan untuk keperluan dan komitmen. Misalnya anda mempunyai komitmen bulanan pembayaran PTPTN (RM200), insurans kesihatan (RM180), bil-bil (RM250), dan bayaran ansuran motosikal (RM250), ini bermakna komitmen bulanan telah mencecah RM880 dan anda hanya boleh menambah komitmen bulanan yang bernilai RM870 sahaja.
Oleh itu, semak semula jika anda memenuhi kriteria ‘Rule of Thumb’ sekiranya anda membuat keputusan untuk membeli kereta atau rumah.
3. LIHAT SEMULA REKOD HUTANG ANDA
Sebelum menambah sebarang komitmen hutang, lihat semula komitmen hutang anda yang lain dan rekod pembayarannya. Sebagai contoh, sekiranya anda sudah terbeban dengan hutang pembiayaan pengajian dan pinjaman peribadi, buat semula kira-kira untuk menentukan sama ada anda mampu menanggung komitmen baharu? Di sini kita aplikasikan semula ‘Rule of thumb’ dan pastikan komitmen anda adalah kurang daripada 50 peratus daripada pendapatan bulanan anda.
Semak semula penyata bayaran komitmen anda untuk mengetahui jika bayaran dilunaskan pada masa yang ditetapkan. Ini penting bagi memastikan rekod pembayaran anda adalah baik sekali gus memudahkan pihak bank meluluskan pinjaman baharu. Harus diingatkan bahawa jika anda tidak mempunyai sebarang komitmen dengan pihak bank, ia juga menyukarkan pihak bank untuk memastikan anda adalah pembayar hutang yang baik mahupun tidak. Jadi, ada baiknya anda mempunyai pinjaman atas nama sendiri sebelum membuat pinjaman yang lebih tinggi.
4. KAJI NILAI DAN KEPERLUAN
Secara umumnya, rumah dilihat sebagai pelaburan jangka masa panjang manakala kereta merupakan sebuah liabiliti. Nilai rumah atau hartanah mungkin mendatar atau turun sedikit dalam jangka masa pendek, namun apabila dihitung dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang, nilai hartanah kebiasaannya akan meningkat selari dengan pembangunan semasa. Berlainan pula jika anda membeli kereta, nilainya akan terus menyusut dan tidak akan meningkat sama sekali. Oleh itu, sudah tentu pembelian rumah adalah lebih baik sekiranya dikaji daripada segi nilai jangka masa panjang.
Bagaimanapun, anda harus melihat juga kepada keperluan semasa. Mungkin anda tinggal jauh dari tempat kerja dan perlu menggunakan kenderaan sendiri untuk ketempat kerja mahupun ke destinasi lain kerana tiada kemudahan pengangkutan awam berhampiran. Dalam permasalahan ini, kereta bukan sahaja dilihat sebagai kehendak tetapi sebagai keperluan untuk kemudahan diri sendiri dan keluarga.
Dah baca apa yang Miss G kongsikan tadi. Jadi, apakah pilihan anda? Beli rumah atau kereta dahulu? Sudah tentu tiada jawapan yang betul mahupun salah. Memang kita digalakkan untuk membuat pelaburan hartanah terlebih dahulu kerana ia lebih menguntungkan. Namun, dengan keadaan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup, perlu disedari bukan semua golongan muda bersedia menanggung komitmen dan risiko pinjaman bernilai tinggi. Setiap orang menjalani kehidupan yang berbeza dengan keperluan dan situasi yang berbeza. Tepuk dada, tanya selera!