Setelah lebih setahun Malaysia ‘berperang’ dengan pandamik COVID-19, Malaysia mula menerima vaksin pertama yang telah diikhtiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan iaitu vaksin Pfizer-BioNtech. Setelah vaksin pertama ini telah mula diedarkan, Malaysia mula menerima dua jenis vaksin lain yang juga telah diikhtiraf oleh WHO untuk kegunaan kecemasan, iaitu vaksin Sinovac dan Oxford/AstraZaneca.
Namun begitu, terdapat ura-ura yang mula membandingkan keberkesanan dan kebaikkan ketiga-tiga vaksin ini. Ada segelintir yang menyatakan bahawa vaksin Pfizer-BioNtech adalah lebih bagus kerana keseluruhan ‘frontliners’ mendapatkan vaksin jenis ini serta harganya yang lebih mahal berbanding dengan vaksin jenis lain. Adakah kenyataan ini benar? Sebelum kita menilai samada kenyataan ini benar ataupun tidak, mari kita lihat dulu perbezaan antara ketiga-tiga vaksin ini.
Vaksin yang kita panggil sebagai vaksin Pfizer-BioNtech ini sebenarnya dipasarkan dibawah jenama Comirnaty atau nama kod BNT1162b2. Vaksin ini adalah vaksin pertama yang berjaya mendapat pengiktirafan dan kelulusan daripada WHO untuk kegunaan kecemasan. Vaksin pertama ini dikeluarkan oleh dua buah syarikat farmaseutikal yang hebat dan terkemuka iaitu syarikat Pfizer dan syarikat BioNtech. Pfizer merupakan sebuah syarikat gergasi bertaraf antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1849 di bandar New York, Amerika Syarikat. Manakala, BioNtech adalah sebuah syarikat baru dari German yang ditubuhkan pada tahun 2008 dan mempunyai kepakaran dalam menghasilkan vaksin menggunakan teknologi baru iaitu vaksin jenis mRNA. Oleh sebab BioNtech mempunyai kepakaran dalam bidang mRNA, maka vaksin Comirnaty yang dihasilkan adalah jenis mRNA. Penerima vaksin jenis ini akan diberi sebanyak dua dos, dimana dos kedua akan diterima selepas 3 minggu menerima dos pertama. Disebabkan oleh vaksin ini adalah vaksin pertama yang diiktiraf oleh WHO, maka Malaysia pun beli lah vaksin ni dan antara yang terawal mendapat vaksin semestinya ‘frontliners’ sebab mereka yang nak jaga kita kan. Oleh sebab itu lah semua ‘frontliners’ dapat vaksin ni, bukan sebab vaksin ini lebih bagus ya.
Bagaimana vaksin jenis mRNA ini dihasilkan? Baik, mari kita pelajari secara ringkas bagaimana vaksin jenis mRNA ini dihasilkan. RNA adalah satu bahagian yang kecil dari genetik virus. RNA ini adalah ‘blueprint’ untuk menghasilkan protein penting bertujuan menyebarkan virus di dalam badan manusia. Sebagai contoh, bentuk virus COVID-19 yang sfera dikelilingi oleh protein ‘spike’ yang berbentuk duri. Protein ‘spike’ ini lah yang bertindak menyebarkan virus di dalam badan manusia. Jadi RNA virus COVID-19 adalah blueprint untuk menghasilkan protein ‘spike’. Untuk menghasilkan vaksin jenis mRNA, pengeluar akan mengambil blueprint virus ini sahaja iaitu RNA untuk dijadikan ‘messenger’ yang dipanggil mRNA atau messenger RNA. Apabila vaksin jenis mRNA ini masuk ke dalam badan, kod genetic ini akan diambil oleh sel badan kita dan mula menghasilkan protein ‘spike’ seterusnya imunisasi badan akan belajar cara membunuhnya. Untuk pengetahuan anda, RNA virus tidak akan boleh bercampur dengan DNA badan kita seperti yang disebarkan oleh berita-berita palsu selama ini. Secara ringkasnya, vaksin jenis mRNA ini bukan lah memasukkan keseluruhan virus tetapi hanya memasukkan kod genetic yang menghasilkan protein ‘spike’ ke dalam badan manusia.
Vaksin Sinovac pula dipasarkan dibawah nama CoronaVac atau nama kod Ad5-nCoV. Vaksin ini dikeluarkan oleh sebuah syarikat farmaseutikal di China yang berpusat di Beijing iaitu syarikat Sinovac. Syarikat Sinovac ini pernah menghasilkan vaksin SARS ketika dunia dilanda wabak selesama pada tahun 2002-2004. Vaksin CoronaVac yang dihasilkan mereka juga akan diberikan sebanyak dua dos kepada penerima vaksin dan ianya adalah jenis ‘inactivated virus’ iaitu virus yang tidak aktif. Berbeza dengan vaksin jenis mRNA yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNtech, vaksin jenis ‘inactivated virus’ ini dihasilkan dengan mengambil keseluruhan virus yang tidak lagi aktif untuk dimasukkan ke dalam badan kita.
Tetapi anda tidak perlu risau, virus yang tidak aktif atau ‘inactivated virus’ yang dimasukkan ke dalam badan manusia ini tidak akan boleh menghasilkan simptom-simptom serius seperti pesakit-pesakit COVID-19 yang lain sebab virus ini kan dah tak aktif, maksudnya virus ni takkan boleh menyerang tubuh badan kita. Konsepnya adalah untuk membenarkan imunisasi badan kita mengenal virus ini dan belajar cara untuk membunuhnya sekiranya badan kita dimasuki virus COVID-19 yang aktif kelak. Sama macam kita buat latihan sebelum peperiksaan, badan kita pun perlukan latihan tau.
Vaksin terakhir yang Malaysia terima pada peringkat awal pemulihan pandamik COVID-19 dan diluluskan oleh KKM adalah vaksin Oxford/Astrazeneca. Vaksin ini merupakan hasil kerjasama antara sebuah universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford dan sebuah syarikat gergasi British-Sweden iaitu syarikat Astrazeneca. Vaksin Oxford/Astrazeneca ini dipasarkan dibawah jenama Covishield atau nama kod AZD1222 dan ianya adalah jenis adenovirus vektor atau virus vektor. Vaksin jenis ini juga akan diberikn sebanyak dua dos kepada penerima vaksin.
Vaksin jenis adenovirus vektor ini dihasilkan dengan mengambil sebahagian daripada kod genetic virus dan dimasukkan ke dalam satu jenis virus yang lain yang tidak merbahaya yang dipanggil sebagai vektor. Ianya berbeza dengan vaksin jenis mRNA dimana mRNA diambil daripada RNA virus dan akan terus dimasukkan ke dalam badan tanpa memerlukan vektor. Jadi setelah vaksin jenis adenovirus vektor ini dimasukkan, vektor yang tidak merbahaya ini akan mula menghasilkan protein ‘spike’ yang terdapat pada virus COVID-19. Ianya akan dikenalpasti oleh imunisasi badan sebagai benda asing dan imunisasi badan akan belajar cara untuk membunuhnya sebagai satu latihan sekiranya badan dimasuki virus COVID-19 yang sebenar.
Dari segi perbezaan kos penjualan, tidak dinafikan harga vaksin Pfizer-BioNtech lebih mahal di ikuti kos vaksin Sinovac dan kos vaksin Oxford/Astrazeneca yang jauh lebih murah berbanding dengan vaksin-vaksin COVID-19 lain yang terdapat dipasaran. Namun begitu, kos penjualan ini sebenarnya tidak memainkan peranan dalam membezakan keberkesanan vaksin dalam mencegah virus COVID-19 tetapi ianya adalah disebabkan oleh cara pembuatan vaksin itu sendiri. Seperti vaksin Pfizer-BioNtech, kos pembuatannya agak mahal kerana mereka menggunakan teknologi pembuatan vaksin jenis mRNA yang mahal. Manakala vaksin Oxford/Astrazeneca yang dikatakan antara vaksin COVID-19 yang termurah dipasaran setakat ini adalah kerana pengeluar vaksin ini berikrar untuk tidak mengambil sebarang keuntungan ke atas penjualan vaksin mereka. Hal ini kerana nereka lebih memilih untuk menjaga kepentingan masyarakat di dunia. Jadi anda sekarang dah faham bukan kenapa harga vaksin-vaksin COVID-19 yang berada di pasaran setakat ini berbeza. Jangan lah anda risau memikirkan mengapa anda mendapat vaksin yang harganya murah ditambah lagi WHO juga ada mengatakan bahawa apa-apa vaksin COVID-19 yang diambil cumalah untuk kegunaan kecemasan sahaja serta tidak menghalang virus sepenuhnya daripada menjangkiti manusia.
Pengambilan vaksin COVID-19 adalah sangat penting untuk kita membina ‘Herd Immunity’ di dalam masyarakat untuk menghalang virus COVID-19 dari terus tersebar dalam kalangan kita terutamanya mereka yang tersayang. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa, kita masih perlu menjaga SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun setelah mendapat vaksin sepenuhnya. Hal ini kerana, vaksin COVID-19 tidaklah menghalang sepenuhnya daripada terkena jangkitan tetapi hanyalah memanjangkan masa terkena jangkitan serta mengurangkan tahap bahaya simptom-simptom COVID-19 ini. Akhir kata, kita jaga kita.
Rujukan:
The different types of COVID-19 vaccines, World Health Organization (WHO), Portal who.int (2021)
Understanding mRNA COVID-19 vaccines, Centers of Diseases Control and Preventions (CDC), Portal cdc.gov (2021)
Understanding Viral Vector COVID-19 vaccines, Centers of Diseases Control and Preventions (CDC), Portal cdc.gov (2021)