Halitosis atau nafas berbau adalah satu gejala yang agak biasa berlaku di seluruh dunia. Ianya disebabkan oleh bau yang keluar ketika kita bernafas atau bercakap yang kurang menyenangkan. Nafas berbau ini bukanlah satu penyakit tetapi ianya adalah satu gejala yang berpunca daripada masalah gigi ataupun lidah.
Terdapat beberapa sebab yang menyumbang kepada masalah nafas berbau ini. Antaranya ialah:
- Merokok boleh meningkatkan risiko jangkitan gusi yang boleh menyebabkan masalah nafas berbau. Ianya juga boleh menyebabkan warna gigi bertukar kekuningan.
- Tidak mengamalkan cara kebersihan mulut dengan betul. Terdapat bakteria yang hidup di permukaan gigi, gusi dan lidah. Jika anda tidak berkumur atau memberus gigi dengan betul, ditambah lagi dengan sisa makanan yang terdapat dicelah gusi, ianya akan menyebabkan bakteria membiak dengan lebih aktif.
- Pengambilan makanan yang berbau seperti petai, jering, bawang putih serta minuman seperti alkohol dan kopi, dimana kedua-duanya akan menyebabkan mulut menjadi kering dan seterusnya menyebabkan nafas berbau
- Mulut kering. Air liur yang dihasilkan dari dalam mulut bukan sahaja berfungsi dalam proses pencernaan malah ianya juga berfungsi untuk membersihkan mulut dari bakteria. Antara punca utama mulut kering adalah tidak minum air dengan secukupnya.
- Gigi palsu. Gigi palsu yang tidak dijaga dengan betul akan menyebabkan pembiakkan bakteria dan seterusnya menyebabkan nafas berbau.
- Jangkitan pada gigi atau gusi. Bakteria adalah punca utama kepada jangkitan yang berlaku pada gigi dan gusi. Bila berlakunya pembiakkan bakteria, maka mulut akan mula mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
- Pengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mulut kering sebagai kesan sampingan.
Sekarang anda sudah tahu apakah punca yang menyebabkan berlakunya nafas berbau ini. Jadi mari kita ketahui pula bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
- Berhenti merokok
Ianya bukan sahaja boleh mengurangkan masalah nafas berbau, bahkan ia juga dapat menghalang pelbagai jenis penyakit seperti kanser paru-paru.
- Membersihkan gigi dan mulut setiap hari
Gosok gigi setiap hari dan jika perlu lebih kerap dari dua kali sehari. Pastikan anda mengosok dengan berhati-hati tetapi meliputi seluruh bahagian mulut termasuk di celah gigi dan permukaan lidah dan gusi. Selain daripada itu, anda disarankan untuk ganti berus gigi setiap 3 – 4 bulan.
- Membersihkan lidah setiap hari
Anda boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner). Ada juga berus gigi yang mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi. Selain itu, anda juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah anda secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga bersih.
- Minum air yang mencukupi
Anda disarankan untuk minum air sekerap yang boleh sepanjang hari. Hal ini kerana minum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi dan juga melembabkan mulut seterusnya boleh membuatkan suasana mulut kurang sesuai untuk pembiakan bakteria.
- Bersihkan gigi palsu dengan kerap
Seperti yang disarankan supaya anda kerap menggosak gigi, pengguna gigi palsu juga disarankan untuk mencuci gigi palsu sekerap yang mungkin. Basuh gigi palsu dengan air suam dan guna berus gigi yang lain. Elakkan daripada menggunakan ubat gigi ketika mencuci gigi palsu kerana ianya boleh merosakkan gigi palsu anda.
- Mengunyah gula getah tanpa gula
Bagi yang sedang bekerja, jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan, terutamanya selepas makan tengah hari ataupun snek, anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula untuk membersihkan sisa-sisa makanan serta merangsang perembesan air liur.
- Berjumpa doktor gigi jika terdapat jangkitan terutamanya pada gusi serta untuk pemeriksaan secara berkala
Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi anda daripada plak dan karang gigi dan seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut anda. Mereka juga boleh mengesan lebih awal sekiranya anda mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk.
Rujukan
Nafas berbau, Portal MyHealth KKM (2012)