Batuk merupakan gejala ‘common’ yang dialami oleh setiap orang, tidak mengira usia. Kebiasaannya batuk tidak menjadi masalah melainkan jika ianya berpanjangan sehingga mengganggu kehidupan seharian.
Batuk adalah refleks yang normal dan semulajadi untuk membuang benda asing seperti objek, cecair dan bakteria supaya dapat menghalang saluran pernafasan dan paru-paru dari sebarang jangkitan. Jika ia masuk ke dalam paru-paru serta tidak dirawat dengan betul, ia boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius seperti radang paru-paru (pneumonia). Perasan tak, ketika anda makan, kadang-kala ada terbatuk? Hal ini adalah disebabkan oleh makanan yang dimakan telah termasuk kesaluran yang salah iaitu saluran pernafasan dan ianya bukanlah disebabkan oleh orang lain menyebut nama kita ya seperti mitos orang dahulu kala.
Eh kejap, macam mana boleh tersalah masuk saluran ni sedangkan saluran pernafasan dan saluran pencernaan kan dua saluran yang berbeza? Baiklah, mari kita ‘study’ berkenaan ‘anatomy’ kedua-dua saluran ini.
Kedua-dua saluran ini kedudukannya adalah bersebelahan diantara satu sama lain yang terletak dibahagian tekak. Kedua-dua saluran ini bermula daripada satu saluran yang sama sebelum dibahagikan kepada dua saluran yang berbeza. Pemisah antara kedua-duanya adalah satu ‘pintu’ yang dipanggil sebagai ‘epiglottis’.
‘Epiglottis’ ini berfungsi membuka saluran pernafasan ketika bernafas dan menutup saluran pernafasan ketika menelan sesuatu. Ketika kita menelan, kita takkan bernafas untuk membenarkan saluran pernafasan ditutup. Tetapi jika anda bercakap atau makan dengan gelojoh, berkemungkinan ketika menelan makanan, anda bernafas dan ‘epiglottis’ tidak dapat berfungsi dengan betul membuatkkan makanan tersalah masuk ke saluran pernafasan. Hal ini akan menghasilkan refleks batuk bertujuan untuk mengeluarkan makanan dari saluran pernafasan.
Sekarang anda dah tahu sedikit sebanyak mengenai ‘anatomy’ saluran pernafasan dan saluran pencernaan. Jadi, mari saya ceritakan pula secara ringkas bagaimana refleks batuk boleh terhasil. Apabila terdapat benda asing di saluran pernafasan atau paru-paru, badan akan cuba untuk mengeluarkannya dengan menghantar isyarat ke pusat batuk atau ‘cough center’ di satu bahagian yang berada di dalam otak. Pusat batuk ini akan memproses maklumat yang diterima dan mula menghantar ‘signal’ untuk penghasilan batuk dengan mengecutkan otot dibahagian dada.
Batuk juga boleh disebabkan oleh keradangan yang berlaku di saluran pernafasan. Jika berlaku keradangan, kahak akan dihasilkan dibahagian ini. Disebabkan oleh tekstur kahak yang mampu menutup saluran pernafasan, badan akan cuba untuk mengeluarkan kahak dengan menghasilkan batuk. Antara sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan batuk ialah merokok, penyakit asma, ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi dan jangkitan kuman bakteria ataupun virus.
Kebiasaannya, batuk boleh baik dengan sendirinya atau ‘self-limiting’ jika tidak serius. Tetapi jika batuk yang dialami oleh anda melebihi 14 hari dan mempunyai gejala-gejala tambahan seperti sesak nafas, hilang berat badan, hilang selera makan, berpeluh diwaktu malam, demam, kahak berdarah, sakit dada dan gejala-gejala lain yang serius, anda disarankan untuk pergi berjumpa dengan doctor di hospital atau klinik berdekatan untuk pemeriksaan yang menyeluruh.
Batuk yang serius dengan gejala yang disebut di atas memerlukan rawatan yang spesifik dan khusus, namun tahukah anda terdapat beberapa petua hilangkan batuk yang boleh dicuba untuk gejala batuk yang disebabkan oleh masalah yang tidak serius? Antara cara atau petua hilangkan batuk ialah:
- Madu terutamanya untuk kanak-kanak. Terdapat kajian yang dibuat menyatakan bahawa pengambilan madu bagi kanak-kanak boleh melegakan batuk serta penghasilan kahak.
- Halia merupakan herba yang terbukti mempunyai banyak khasiat antaranya ialah antioksidan, mengurangkan keradangan dan juga mempunyai komponen anti-kanser.
- Bernafas dengan wap air panas iaitu dengan meletakkan air panas didalam mangkuk dan bernafas dengan udara wap yang dihasilkan daripada air panas tersebut. Pastikan anda menutup kepala menggunakan tuala supaya wap tersebut tidak bebas keluar supaya dapat disedut sepenuhnya. Cara ini boleh melegakan gelaja batuk berkahak.
- Berkumuh dengan air garam bertujuan untuk membersihkan mulut dan lidah. Jika mulut bersih, ia akan dapat menghalang lebih banyak bakteria berkumpul dan seterusnya mempercepatkan kesembuhan gejala batuk.
Rujukan:
Anatomy and neuro-pathophysiology of the cough reflex arc, NCBI (2012).
Cough or difficulty in breathing, NCBI (2013)
Cough, NCBI (2021)
Honey for treatment of cough in children, NCBI (2014)
Natural Cough Remedies, WebMD (2019)
The Amazing and Mighty Ginger, NCBI (2011)