(Sumber: sentiasapanas.com)

Pandemik COVID-19 ketika ini dengan jumlah kes yang tertinggi di Malaysia amatlah membimbangkan. Seiring dengan peningkatan kes wabak COVID-19 ini, penularan berita palsu serta tips dan petua untuk pencegahan dan rawatan wabak ini juga tidak semakin menular di media sosial. Baru-baru ini telah tular di internet mengenai vitamin C sebagai rawatan yang mampu mengubati COVID-19. Adakah kenyataan ini benar? Mari kita selidik.

Menurut Pakar Kesihatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azidah Abdul Kadir, vitamin C atau nama lainnya asid askorbik adalah antara nutrient yang mempunyai pelbagai kebaikan untuk badan termasuklah berperanan sebagai antioksida yang menghalang radikal bebas daripada membuat kerosakan pada sel badan dan meningkatkan daya tahan badan terhadap penyakit berjangkit seperti selesema atau influenza.

Menurut beliau lagi, terdapat kajian yang dilakukan untuk membuktikan keberkesanan vitamin C dalam merawat selesema biasa. Keputusan menunjukkan bahawa vitamin C tidak dapat mencegah jangkitan selesama tetapi dapat mempercepatkan kadar penyembuhan. Dalam kajian yang lain yang dilakukan keatas pesakit radang paru-paru, vitamin C dalam dos yang tinggi yang disalurkan ke intravena dapat mengurangkan tempoh rawatan di unit rawatan rapi (ICU) serta mengurangkan tempoh penggunaan alat bantuan pernafasan. Namun begitu, bukti saintifik terhadap kajian ini masih belum kukuh.

Berlandaskan kajian ini, vitamin C telah digunakan dalam rawatan COVID-19 untuk pesakit yang mempunyai komplikasi radang paru-paru di China dan kajian telah dijalankan untuk melihat keberkesanan penggunaan vitamin C ini dan sebuah artikel telah diterbitkan oleh Chinese Journal of Infection Diseases, the Shanghai Medical Association yang memperakui penggunaan intravena vitamin C untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital di China.

Namun begitu, rawatan vitamin C masih belum menjadi rawatan standard yang diiktiraf untuk COVID-19 buat masa ini. Walaupun dos tinggi vitamin C intravena saat ini sedang diuji untuk mengetahui sama ada ia dapat meningkatkan fungsi paru-paru pesakit COVID-19, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa suplemen vitamin C oral dan dos tinggi vitamin C dapat membantu mencegah daripada terkena penyakit ini.

Untuk pengetahuan anda, kuantiti pengambilan vitamin C adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada beberapa faktor antaranya

  • Jantina
  • Umur
  • Berat badan
  • Tahap kesihatan
  • Ibu mengandung
  • Gaya hidup

Keperluan harian vitamin C yang syorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah seperti berikut

  • Orang dewasa adalah 70mg sehari
  • Ibu mengandung, keperluannya adalah 80mg sehari
  • Ibu yang menyusukan anak adalah 85mg sehari
  • Kanak-kanak pula, keperluan vitamin C adalah sebanyak 30-35mg sehari
  • Remaja memerlukan 65mg sehari
(Sumber: myhealth.gov.my)

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi dalam diet seharian sudah cukup untuk memenuhi keperluan vitamin C di dalam badan. Hal ini kerana, sebagai contoh, sebiji oren dapat membekalkan sekitar 53 mg vitamin C dan 1 cawan brokoli yang dimasak memberikan 160 sebanyak mg vitamin C.

(Sumber: facebook.com)

Antara sayur-sayuran dan buah-buahan lain yang kaya dengan vitamin C adalah

  • Tomato – 100g bersamaan 23mg
  • Cili benggala – 100g bersamaan 128mg
  • Jambu batu – 100g bersamaan 228mg
  • Kiwi – 100g bersamaan 93mg
  • Strawberi – 100mg bersamaan 59mg
  • Betik – 100mg bersamaan 61mg

Oleh yang demikian, bagi kebanyakkan orang, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan sudah mencukupi untuk memenuhi keperluan harian vitamin C. Hal ini kerana pengambilan vitamin C yang berlebihan atau dalam dos tinggi akan memberi kesan sampingan seperti

  • Cirit-birit
  • Mual
  • Muntah
  • Kejang perut
  • Sakit kepala
  • Insomnia
  • Batu karang

Jadi, perlu diingatkan sekiranya anda berniat untuk mengambil vitamin C sebagai suplemen, pastikan anda mengambil dalam dos yang betul dan suplemen yang berkualiti. Disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan yang bertauliah untuk mengetahui dos yang tepat untuk anda.

Leave a Comment on VITAMIN C SEBAGAI MAKANAN TAMBAHAN UNTUK MENGUATKAN DAYA TAHAN BADAN DARI COVID

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *