Adakah rumah lelong sesuai untung golongan B40 dan M40
Hai korang, hari ini Miss G nak berkongsi dengan korang semua yang berada di dalam golongan B40 dan juga M40. Topic yang Miss G nak bahas hari ini adalah “Adakah rumah lelong sesuai untuk golongan B40 dan M40 ?”.
Di waktu dan situasi norma baharu yang tercetus akibat pandemik kini sudah berlarutan menjangkau tempoh setahun. Selain ancaman kesihatan dan gaya hidup masyarakat yang berubah, ramai juga yang terkesan dari sudut ekonomi. Golongan yang paling terkesan akibat daripada norma baharu merupakan golongan B40 dan M40. Mengambil kira situasi semasa ini, adakah rumah lelong sesuai buat anda?
Jika dilihat dari sudut sumber pendapatan, golongan yang paling banyak terjejas merupakan golongan B40 dan M40. Malah, mengikut laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang keluar pada bulan Ogos lalu, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 kini telah jatuh beralih ke dalam kumpulan B40.
Dalam situasi semasa ini, agak sukar bagi dua kategori pendapatan tersebut untuk memiliki rumah. Buat golongan B40 dan M40, apakah pilihan yang mereka ada? Adakah rumah lelong sesuai untuk anda?
Anda dalam kategori mana B40, M40 atau T20 ?
Rakyat Malaysia dikelaskan dalam kumpulan pendapatan masing-masing, mengikut median pendapatan bulanan setiap isi rumah. Maksud pendapatan isi rumah di sini adalah jumlah pendapatan semua ahli keluarga atau penghuni rumah. Sekiranya kedua-dua suami dan isteri dalam sebuah keluarga atau isi rumah bekerja, maka jumlah pendapatan mereka perlu dijumlahkan.
Secara mudahnya, berdasarkan median pendapatan bulanan isi rumah di Malaysia, golongan T20 terdiri daripada 20% yang pendapatan teratas, M40 adalah yang 40% di tengah, dan B40 pula adalah lebihan 40% di bawah.
Berikut merupakan pengkelasan tiga kumpulan tersebut:
- Golongan B40 berpendapatan isi rumah dengan purata bulanan di bawah RM4,850.
- Golongan M40 berpendapatan isi rumah dengan purata bulanan antara RM4,851 hingga RM10,970.
- Golongan T20 berpendapatan isi rumah dengan purata bulanan RM10,971 dan ke atas.
Apa itu rumah lelong dan adakah golongan B40 dan M40 mampu memilikinya?
Apa itu Rumah Lelong?
Jom Miss G terangkan semula bagi sesiapa yang ketinggalan artikel MIss G sebelum ini mengenai rumah lelong. Rumah untuk dilelong merupakan rumah yang dijual oleh pihak bank ataupun pihak individu secara lelongan, iaitu proses kompetitif terbuka dalam pasaran yang digunakan untuk memindahkan hak harta benda. Proses ini dikendalikan oleh pihak lelongan yang berlesen.
Kebiasaannya, rumah dilelong akibat tuan rumah gagal membayar ansuran rumah dan baki tunggakan. Maka, pihak bank telah mengambil semula rumah tersebut dari pembelinya dan kemudiannya dijual semula secara lelong.
Terdapat juga kes di mana pembeli tidak dapat meneruskan pembeliannya kerana pinjaman bank tidak mendapat kelulusan. Ini menjadikan rumah tersebut ditinggalkan kosong begitu saja. Situasi lain pula adalah apabila rumah tidak terjual dalam pasaran subsale.
Harga rumah lelong kebiasaannya adalah jauh lebih murah dari harga pasaran. Ini bagi memastikan kos pembaikannya nanti apabila dijumlahkan dengan harga lelong masih tidak melebihi harga pasaran rumah tersebut. Memandangkan harga yang rendah ini, ia menjadi satu pilihan yang menarik buat golongan B40 dan M40.
Apa kelebihan dan kekurangan rumah lelong?
Sebelum anda membuat sebarang pembelian, nilaikan perkara-perkara berikut terlebih dahulu:
Kelebihan rumah lelong:
- Harga kebiasaannya lebih rendah dari pasaran subsale.
- Boleh membeli rumah yang sebelum ini mempunyai sekatan, contohnya rumah kos rendah. Proses lelongan akan menghilangkan sekatan tersebut.
- Pilihan pelbagai lokasi yang menarik.
- Pulangan sewa yang lebih tinggi berbanding rumah subsale.
- Pelbagai pilihan harga (boleh memilih harga yang sesuai dengan bajet).
Kekurangan rumah lelong:
- Kalah lelongan (unit ‘called off’) – pemilik terpaksa membayar tunggakan dan bank membatalkan lelongan (boleh berlaku pada hari lelongan walaupun setelah anda mendaftar).
- Menang lelong tetapi dengan harga yang melebihi pasaran. Ini berlaku jika anda tidak membuat kajian tentang harga pasaran rumah.
- Pinjaman perumahan tidak diluluskan.
- Unit dalam keadaan kerosakan yang teruk.
- Tunggakan utiliti oleh pemilik lama yang tinggi.
- Pemilik lama enggan keluar dari rumah.
Adakah sesuai membeli rumah semasa norma baharu?
Walaupun norma baharu telah menjejaskan pendapatan sebahagian besar rakyat Malaysia, dari sudut lain pula, ia meningkatkan bilangan rumah yang dilelong. Menurut laporan media, semakin ramai yang gagal membuat bayaran ansuran pada masa ini. Seterusnya, rumah-rumah yang gagal dibayar in akan dilelong.
Sekiranya sesebuah rumah itu tidak dapat dilelong pada tarikh tertentu, harga rumah tersebut akan diturunkan lagi sehingga 10% daripada harga lelong yang lepas.
Bagaimana cara membeli rumah lelong?
Anda mempunyai dua pilihan bagi membeli rumah lelong, iaitu:
- Lelongan secara fizikal – sesi bidaan ini perlu dihadiri secara fizikal, sama ada diri anda sendiri ataupun diwakili ejen lelong .
- Lelongan secara dalam talian – terdapat beberapa laman web dan syarikat yang menawarkan khidmat lelongan secara dalam talian, seperti: e-Lelong Mahkamah Tinggi Malaysia, auctions.com.my, dan Ng Chan Mau.
Apakah pilihan perumahan yang lain buat golongan B40 dan M40
Selain membuat bidaan ke atas rumah lelong, golongan B40 dan M40 juga boleh memohon beberapa skim perumahan yang disediakan khas untuk mereka. Ini termasuklah:
- BSN MyHome (Skim Perumahan Belia)
- Skim Sewa Untuk Milik (RTO)
- Residensi Wilayah (RUMAWIP)
- Rumah Selangorku (RSKU)
- Perumahan Transit Belia (MyTransit)
- Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA)
- Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome)
Selamat memiliki rumah pertama anda!