Ikuti Cerita Jatuh Bangun Restoran Subway

Assalamualaikum dan Hai korang, Miss G rasa kali ini nak kongsikan kisah inspirasi buat anda yang mana baru mencuba dan ingin mencuba bidang perniagaan ini. Sebelum ini Miss G belum pernah kongsi dengan anda kisah berkaitan restoran fast food atau lebih dikenali dengan restoran makanan segera.
Anda pasti pernah dengar nama restoran Subway ini bukan? Restoran ini menyediakan pelbagai pilihan roti sandwic yang bukan sahaja enak tetapi juga berkhasiat untuk dimakan.Kini restoran ini menjadi salah satu restoran francais yang paling cepat berkembang di seluruh dunia. Sekarang Subway mempunyai lebih daripada 40,000 rangkaian francais di 110 buah negara.Untuk mencapai kejayaan sebegitu rupa, banyak liku-liku yang terpaksa dilalui oleh pemiliknya.
Jatuh Bangun restoran Subway!

Kredit Gambar: Eat This
JIka anda baca asal usul restoran subway ini pasti anda akan terkejut.Perniagaan restoran ini mula diusahakan oleh seorang remaja berusia 17 tahun yang bernama Fred DeLuca. Pada asalnya, beliau berniaga semata-mata ingin mencari duit bagi menampung pengajiannya di kolej.
Beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan, sebaliknya mahu menjadi seorang doktor.
Dengan modal USD1,000 yang dipinjam, beliau memulakan perniagaan sandwic bersama dengan seorang rakan kongsi iaitu Peter Buck. Mereka membuka kedai pertama mereka yang diberi nama Pete’s Super Submarine di Connecticut pada Ogos 1965. Tetapi mereka telah mengalami kegagalan, namun tidak berputus asa.
Mereka meneruskan usaha dengan membuka restoran lain di kawasan yang berhampiran. Namun mereka masih juga gagal.
Usaha tetap diteruskan. Restoran mereka yang ketiga diberi nama baru iaitu ‘Subway’. Sikap tidak berputus asa mereka ini akhirnya telah membuahkan hasil.
Mereka berjaya mendapat keuntungan sebanyak USD7,000 pada tahun pertama perniagaan ini. Akhirnya Fred mengambil keputusan untuk melupakan cita-cita untuk menjadi seorang doktor dan bekerja dalam industri makanan.
Mereka meletakkan sasaran iaitu mereka akan memiliki 30 restoran di negeri tersebut. Tetapi setelah 10 tahun, mereka hanya mampu memiliki 16 restoran sahaja.
Masalah yang paling besar adalah untuk mengekalkan kualiti yang sama bagi setiap cawangan restoran mereka. Menurut Fred, francais merupakan salah satu cara terbaik untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Jadi beliau telah memujuk salah seorang rakannya iaitu Brian Dixon untuk membuka cawangan francais mereka yang pertama di New Haven. Usaha mereka ini membuahkan hasil apabila 14 buah lagi cawangan baru telah dibuka pada tahun yang sama.

Setelah itu, kejayaan demi kejayaan mula menyusul. Berpuluh-puluh ribu cawangan telah berjaya dibuka di seluruh dunia. Dan jumlah ini terus meningkat.
Salah satu faktor kejayaan mereka adalah kerana makanan yang mereka tawarkan. Mereka mempromosikan makanan yang sihat, berkualiti dan juga segar.
Setiap roti yang mereka gunakan harus dibakar di dalam kedai itu juga. Ini membuatkan pelanggan berasa yakin dengan kualiti serta kesegaran makanan yang disediakan.
Banyak yang kita boleh belajar daripada dua orang pengasas restoran ini sebenarnya. Antaranya ialah sikap tidak mudah berputus asa.
Walaupun beberapa kali gagal dalam perniagaan, mereka tetap berusaha mencari jalan keluar kepada permasalahan dan yakin bahawa mereka pasti berjaya. Ternyata sikap positif ini telah membuahkan hasil yang lumayan.
Pengasasnya Fred DeLuca telah pun meninggal dunia pada tahun 2015, tetapi legasinya berterusan sehingga ke hari ini. Dan katanya beliau bernilai USD2.8 bilion menerusi perniagaan Subway ini.