APAKAH ITU PENYAKIT BATU KARANG, PUNCA DAN GEJALANYA
(Sumber: mstar.com.my)
Batu karang adalah salah satu penyakit urologi yang sering dihadapi oleh penduduk di Malaysia. Tahukah anda bahawa batu karang bukan sahaja boleh berada di buah pinggang dan saluran kencing, malah ia juga boleh berada di pundi hempedu atau ‘gallbladder’ iaitu organ yang terletak di bawah hati.
(Sumber: mayoclinic.org) & (Sumber: webmd.com)
Batu karang adalah sejenis batu yang terhasil daripada beberapa jenis komponen yang berbeza. Antara komponen-komponen yang boleh menghasilkan batu karang adalah kalsium oxalate, asid urik, cystine dan struvite. Batu struvite pula mempunyai beberapa jenis dengan komponen yang berbeza, antaranya ialah magnesium, ammonia dan fosfat bersama karbonat. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, di dalam laman sesawang myhealth.gov.my, antara batu karang yang sering ditemui di Malaysia ialah batu jenis kalsium oxalate, asid urik dan batu yang disebabkan oleh jangkitan.
(Sumber: mayoclinic.org)
Batu karang kebiasaannya berpunca oleh:
- Kekurangan air dalam badan atau dehidrasi
Antara punca utama penghasilan batu karang ini adalah disebabkan oleh kurangnya kandungan air di dalam badan. Kandungan air yang kurang akan menyebabkan penghasilan air kencing yang pekat. Badan akan tetap menghasilkan air kencing untuk membuang benda yang tak digunakan melalui air kencing. Cuba anda bayangkan jika anda cuba untuk melarutkan sekilo gula di dalam segelas cawan. Semestinya air menjadi sangat pekat serta gula tidak dapat dilarutkan sepenuhnya bukan? Begitu juga dengan penghasilan batu karang ini. Jika salah satu komponen yang di sebutkan di atas berlebihan, maka badan cuba untuk mengeluarkannya melalui air kencing, namun jika air tidak mencukupi, komponen-komponen ini tidak dapat dilarutkan seterusnya menyebabkan penghasilan batu karang.
- Kandungan komponen yang tinggi dalam badan
Seperti yang telah dibincangkan di atas, jika komponen-komponen batu karang ini berlebihan, ia akan menyebabkan mendapan dan seterusnya menghasilkan batu karang di dalam buah pinggang dan saluran kencing. Dari mana datangnya komponen-komponen ini? Komponen seperti kalsium oxalate dan asid urik boleh didapati di dalam makanan yang mempunyai tinggi paras protein. Selain itu, daging merah, makanan laut dan alkohol boleh menghasilkan asid urik. Bahan tenusu seperti susu dan keju boleh menyumbang kepada penghasilan kalsium manakala coklat, kopi dan bayam boleh menghasilkan oxalate. Semua makanan yang disebutkan adalah makanan yang sering kita makan. Jadi sekarang anda dah tahu bukan kenapa komponen batu karang ini sering ditemui di Malaysia. Jadi, marilah kita mengamalkan bersederhana dalam mengambil sebarang jenis makanan.
- Jangkitan saluran kencing dalam badan
Jangkitan kuman terutamanya bakteria di buah pinggang dan saluran kencing secara berulang-ulang boleh menyebabkan pembentukkan batu karang. Risiko untuk penghasilan batu karang akan diterukkan lagi jika pesakit mempunyai masalah prostat bengkak, ketumbuhan atau apa-apa jenis penyakit saluran kencing yang boleh menyebabkan pertakungan air kencing. Hal ini kerana, jika air kencing bertakung terlalu lama, ianya dapat membiak kuman yang sedia ada dengan lebih cepat seterusnya menyebabkan pembentukkan batu karang.
- Lemak yang berlebihan
Kandungan lemak yang berlebihan boleh menyebabkan pembentukkan batu di pundi hempedu. Selain dari lemak, batu karang di pundi hempedu juga boleh disebabkan oleh paras garam hempedu dan bilirubin yang tinggi. Jika salah satu daripada tiga komponen ini tinggi, maka batu karang akan mula terhasil.
Antara simptom-simptom batu karang adalah:
- Sakit di bahagian pinggang dan perut
- Sakit ketika membuang air kencing
- Terdapat pasir ketika membuang air kecil
- Kencing tidak lawas
- Darah dalam air kencing
- Loya dan muntah
- Demam
Namun begitu, jika batu karang yang terhasil bersaiz kecil, ianya tidak akan memberikan sebarang masalah atau simptom kepada pesakit. Ianya boleh keluar dengan sendirinya melalui air kencing jika batu karang yang kecil ini terbentuk di saluran kencing. Malah terdapat sesetengah pesakit yang mengetahui bahawa mereka mempunyai batu karang secara tidak sengaja ketika pemeriksaan ultrasound atau x-ray di bahagian perut untuk tujuan lain. Simptom-simptom akan mula terhasil jika batu-batu kecil ini tersangkut dibahagian saluran-saluran yang kecil seterusnya menyebabkan kesakitan kepada pesakit.
Rujukan:
Batu Karang, Portal MyHealth KKM (2012)
Penyakit batu karang hempedu, Portal MyHealth KKM (2014)