5 Faktor Yang Menyebabkan Harga Bitcoin Naik Dan Turun

Pelaburan secara alam maya sekarang ini menjadi trend dikalangan orang muda. Justeru itu, Miss G ingin kongsikan kepada anda 5 sebab yang menyebabkan harga Bitcoin turun dan naik. Harga Bitcoin yang cepat naik dan turun dengan cepat telah menjadi satu tanda tanya. Pada tahun pertama ianya dikeluarkan iaitu pada 2009, Bitcoin telah mencatatkan harga yang sangat rendah. Pada tahun 2013, Bitcoin telah mula mendapat tarikan di mana ketika itu krisis perbankan di Crypus telah berlaku.

Rakyat di negara itu berkejar untuk mengeluarkan simpanan yang mereka ada untuk membuat pelaburan Bitcoin bagi menghalang kerajaan menguasai mata wang mereka pada ketika itu.

Jadi apakah yang menyebabkan Bitcoin ini naik gila-gila sampai mencecah paras $20,000 US Dolar pada Disember 2017? Dan kenapa pula ianya jatuh menjunam ke paras $7,700 US Dolar daripada $10,000 US Dolar dalam masa sehari pada 2 Februari 2018?

Jom kita tengok faktor apakah yang telah menyumbang kepada kenaikan dan penurunan Bitcoin ini?

1. Permintaan dan Bekalan

Faktor ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan serta penurunan harga Bitcoin. Jika anda lihat kepada teori ekonomi, apabila berlaku permintaan yang tinggi terhadap sesuatu; secara semulajadinya harga akan meningkat naik.

Dan apabila barang tersebut tidak lagi laku di kaca mata orang ramai, maka ramai pula penjual melebihi pembeli – ada yang sanggup jual walaupun terpaksa menampung kerugian yang besar.

2. Jumlah Bitcoin Yang Terhad

Jumlah Bitcoin yang dikeluarkan adalah sangat terhad. Ia hanya berjumlah 21 juta dan pengeluarannya juga tidak secara sekaligus. Pada ketika Bitcoin berjaya dilombong sebanyak 16 juta, lebih daripada 14 juta orang telah berjaya memiliki BTC.

Disebabkan oleh pengeluaran Bitcoin yang terhad dan ianya pula mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai, ia seolah-olah menjadi Limited Edition. Berpusu-pusu orang mahu walaupun ‘secebis’ Bitcoin.

3. Berita dan Reaksi

Bitcoin dan matawang krypto yang lain adalah bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan pengguna. Ia langsung tidak bersandarkan kepada apa-apa aset fizikal. Jika kepercayaan orang ramai meningkat, maka naiklah nilainya, dan begitulah sebaliknya.

Sebarang berita berkaitan Bitcoin sama ada positif ataupun negatif turut mempengaruhi pergerakan harga Bitcoin. Ada cerita peminat Bitcoin yang sanggup menjual segala harta benda semata-mata untuk mendapatkan Bitcoin apabila ianya sedang meningkat naik, dan ada juga kes bunuh diri apabila harga Bitcoin menjunam.

Ini semuanya berpunca daripada kenaikan harga yang luar biasa tinggi dan juga kejatuhan harga yang luar biasa tinggi.

Mata Wang Digital Hilang US$100 Bilion Dalam Masa Sehari pada 2 Februari 2018 yang lalu, yang merupakan titik hitam dalam sejarah mata wang digital.

4. Isu Teknikal

Bitcoin pernah melalui fasa ‘hard fork’, ‘soft fork’ dan ‘upgrade’. Panjang ceritanya, tetapi isu-isu teknikal ini turut menyumbang kepada ketidaktentuan harga Bitcoin.

Bukan itu sahaja, mata wang digital turut terdedah kepada penggodaman besar-besaran di mana pelanggan ‘hilang’ jutaan malah berbilion Ringgit akibat kena hack. RM261 Juta Bitcoin Hilang Dicuri – NiceHash kena hack Disember 2017 yang lalu, dan yang terbaru Kerugian Terbesar Mata Wang Digital – $533 Juta di mana Coincheck pula kena hack baru beberapa minggu yang lepas.

5. Keadaan Politik dan Ekonomi Seluruh Dunia

Berita berkenaan Bitcoin telah mendapat liputan hebat dan meluas di seluruh dunia. Pada awalnya, berita penerimaan Bitcoin sebagai matawang alternatif bagi negara Jepun telah memberikan satu impak yang sangat positif di seluruh pelusuk dunia.

Tetapi sebaliknya yang berlaku apabila China dan Korea Selatan mula menyekat perdagangan Bitcoin di negara mereka, maka pelabur daripada kedua-dua negara tersebut terpaksalah melepaskan pegangan mereka sebelum terlambat.

Kesimpulannya, Kalau anda tidak mempunyai masalah atau penyakit jantung yang kuat, jauhkanlah diri daripada Bitcoin atau mana-mana mata wang digital yang lain. Ini kerana harganya boleh meroket naik dalam masa sehari, dan juga menjunam ke dalam gaung dalam masa sehari juga.

Leave a Comment on 5 Faktor Yang Menyebabkan Harga Bitcoin Naik Dan Turun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *