Semak dan Bayar Cukai tanah secara online
Assalamualaikum and Hi korang,Bila bercakap mengenai hartanah dan pelaburan hartanah, isu cukai tidaklah menjadi sesuatu yang berat tetapi jika diambil tak endah misal kata anda terlupa nak bayar nah cuba anda bayangkan benda yang kecik akan menjadi besar. Kan dah kena tunggakan yang akan memeningkan anda pabila nak bayar dikemudian hari. Okay Today Miss G nak tips dan langkah penting untuk pemilik hartanah serta pautan untuk membuat bayaran dan semakan cukai tanah secara online.Cukai merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam hidup kita. Sebagai rakyat, pemilik hartanah di Malaysia perlu membayar cukai tahunan, termasuk cukai tanah.
Apa itu cukai tanah?
Cukai tanah yang juga dkenali sebagai Quit Rent ialah cukai yang dikenakan ke atas hartanah persendirian oleh kerajaan negeri di Malaysia. Ia ditadbir oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengikut negeri.
Tidak seperti cukai taksiran yang dikenakan setiap enam bulan oleh majlis perbandaran, cukai tanah dikenakan setiap tahun. Pemilik hartanah di kebanyakan negeri perlu membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.
Pada 2018, kerajaan negeri Selangor memperkenalkan sistem cukai petak bagi menggantikan cukai tanah hakmilik strata. Sejak itu, beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur turut berbuat demikian.
Sementara itu, pemilik hartanah yang tinggal di Sarawak tidak lagi perlu membayar cukai tanah! Pada 2016, kerajaan negeri tersebut telah memansuhkan bayaran cukai tanah bagi tanah perumahan dan pertanian dengan keluasan tidak melebihi 100 ekar (40.47 hektar).
Berapakah kadar cukai tanah di setiap negeri?
Bayaran cukai tanah yang dikenakan bergantung pada saiz hartanah. Angka tersebut didarabkan dengan kadar yang ditetapkan mengikut negeri. Di dalam setiap negeri pula terdapat kadar berlainan mengikut lokasi dan jenis hartanah.
Contohnya, hartanah komersil akan dikenakan cukai tanah lebih tinggi berbanding hartanah kediaman, dan cukai tanah untuk kediaman dalam bandar adalah lebih tinggi berbanding hartanah yang sama saiz di luar bandar.
Cukai tanah = Saiz hartanah X Kadar
Bagaimanapun, kadar cukai tanah untuk semua negeri tidak dipaparkan di laman web PTG. Pemilik hartanah disarankan untuk menghubungi PTG negeri masing-masing bagi mendapatkan kadar terkini.
Bagaimana nak buat semakan bayaran cukai tanah 2021?
Anda boleh menyemak bayaran cukai tanah secara online melalui beberapa portal Pejabat Tanah dan Galian. Contohnya, jika anda memiliki hartanah di Kuala Lumpur, anda boleh layari laman web PTGWP. Pemilik hartanah di Kedah pula boleh menyemak ebayaran.ptgkedah.gov.my.
Kebanyakan portal ini memerlukan butiran tertentu bagi menyemak bayaran cukai tanah anda seperti nombor akaun atau hakmilik tanah. Semua maklumat ini boleh diperolehi dalam bil fizikal cukai tanah lama anda.
NOTA PENTING: Kerajaan negeri Pahang telah mengumumkan pemilik hartanah mempunyai lebih banyak masa untuk membuat bayaran cukai tanah bagi tahun 2021 – tarikh akhir telah dilanjutkan kepada 31 Ogos 2021.
Di mana boleh buat bayaran cukai tanah?
Bil cukai tanah boleh dibayar di pejabat atau cawangan Pejabat Tanah dan Galian setiap negeri. Di sesetengah negeri, bayaran juga boleh dibuat melalui majlis perbandaran, pejabat daerah dan pejabat pos. Kebanyakan PTG menerima bayaran secara online, sama ada menerusi portal PTG atau perbankan internet.
Pos Online menerima bayaran cukai tanah untuk Selangor, Perak, KL, Melaka, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Anda boleh menyemak kaedah bayaran dengan melayari laman web atau menghubungi talian hotline PTG. Waktu operasi talian mungkin berubah ketika Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.
Pembayaran cukai tanah secara online
Membayar cukai tanah anda secara online adalah cukup mudah, lebih-lebih lagi semasa PKP di mana kaunter pembayaran mungkin ditutup. Pembayaran kepada PTG boleh dibuat menerusi perbankan internet sepertimana bil anda yang lain. Bagaimanapun, setiap PTG hanya membenarkan bayaran melalui bank terpilih. Semak jika bank anda layak dengan melayari laman web PTG negeri anda.
Contohnya, bayaran secara online bagi cukai tanah di negeri Selangor hanya boleh dibuat menerusi Maybank dan CIMB. Semasa proses pembayaran, pilih Pejabat Tanah dan Galian Selangor sebagai penerima.
Sesetengah PTG memiliki sistem bayaran online tersendiri. Bagi pemilik hartanah di Johor, cukai tanah boleh dibayar melalui portal bayaran onlinepayment.johor.gov.my.
Bagaimana nak bayar cukai tanah secara online di Selangor?
- Layari portal Pejabat Tanah dan Galian Selangor, selangor.gov.my (berbeza dari portal cukai pendapatan ezHASiL).
- Di halaman “eSemakan”, cari akaun anda dan jumlah tunggakan dengan memasukkan nombor akaun atau hakmilik tanah. Maklumat ini boleh diperolehi dalam bil terdahulu. Tekan butang “Cari”.
- Akaun anda akan terpapar jika butiran yang dimasukkan betul. Jika ada tunggakan, butang “Bayar” akan terpapar di sebelah jumlah tersebut.
- Tekan butang “Bayar” dan anda perlu membuat bayaran melalui transaksi FPX.
- Log masuk profil perbankan internet anda dan buat bayaran.
- Cetak atau simpan resit transaksi dan resit cukai tanah sebagai bukti pembayaran.
Bagaimana nak bayar cukai tanah secara online di KL?
- Layari halaman e-Bayaran PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Cari akaun anda dengan memasukkan nombor akaun, hakmilik tanah, hakmilik strata atau kad pengenalan. Maklumat ini boleh diperolehi dalam bil terdahulu. Tekan butang “Cari”.
- Akaun anda akan terpapar jika butiran yang dimasukkan betul. Untuk membayar, tekan butang “Bayar” di bahagian bawah halaman. Anda perlu membuat bayaran melalui transaksi FPX.
- Log masuk profil perbankan internet anda dan buat bayaran.
- Cetak atau simpan resit transaksi dan resit cukai tanah sebagai bukti pembayaran.
Apakah tanggungjawab saya sebagai pemilik hartanah?
Selain membayar cukai tanah, anda juga perlu:
- Memaklumkan kepada majlis perbandaran jika terdapat perubahan alamat.
- Memaklumkan kepada majlis perbandaran jika terdapat perubahan hakmilik. Ini boleh dilakukan secara bertulis atau melalui Borang F (daripada pejabat majlis perbandaran) serta sediakan salinan Memorandum Pemindahan (MOT) atau Perjanjian Jual Beli (SPA).
- Memeriksa dengan pejabat majlis perbandaran jika terdapat sebarang bayaran tunggakan dan membuat bayaran sebelum pertukaran hakmilik.
Bagaimana jika saya gagal membayar cukai tanah?
Denda akan dikenakan jika cukai tanah lambat dibayar dan anda akan diberi notis. Jika anda tidak mengendahkan notis dan gagal membayar denda, pihak kerajaan negeri boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas anda. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap anda dan hartanah anda boleh dirampas.
Hartanah atau tanah anda mungkin akan dilelong oleh jurulelong yang dilantik oleh majlis perbandaran. Caj sebanyak 10% akan dikenakan bagi pengeluaran waran.