Kisah Kejayaan 99 SpeedMart, OKU Bukanlah Titik Penghalang.
Assalamualaikum dan Hi korang, untuk artikel kategori Inspirasi Kejayaan kali ini, Miss G nak kongsikan sebuah kisah yang agak menarik dimana kisah ini mengenai seorang usahawan yang berkelainan upaya yang membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk berjaya tetapi ianya datang dengan usaha. Kisah yang Miss G bakal kongsikan ini akan membuka mata kita semua bahawa sesiapa sahaja mampu berjaya jika mereka berusaha secara berterusan walaupun bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU).
Kali ini Miss G akan menceritakan tentang salah seorang insan hebat yang mempunyai kekurangan daripada segi fizikal iaitu Lee Thiam Wah, yang merupakan pengasas rangkaian pasar raya 99 Speedmart yang memiliki lebih daripada 1000 cawangan serta mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM2.1 bilion.
Lee Thiam Wah merupakan warganegara Malaysia yang dilahirkan pada tahun 1964. Beliau dilahirkan di dalam keluarga yang susah dengan 11 orang adik beradik. Bapanya bekerja sebagai seorang buruh binaan manakala ibunya pula hanya seorang penjaja.
Pada mulanya, Lee dilahirkan dengan kesihatan yang baik dan sempurna. Namun begitu, ketika berusia 8 bulan, beliau disahkan menghidap penyakit polio yang mengakibatkan kecacatan kekal kepada kedua-dua belah kakinya. Hal ini mengakibatkan beliau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda seumur hidup. Tidak berhenti disitu, kehidupan Lee terus diuji kerana kesempitan hidup yang dialami, dimana beliau terpaksa menamatkan pengajiannya sehingga Darjah Enam sahaja.
Sejak dari itu, Lee tidak hanya membuang masa, tetapi akan mengisi masa lapangnya dengan membaca buku yang dipinjam dari jiran. Beliau juga pernah beberapa kali mencuba mencari pekerjaan bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga tetapi tidak berjaya kerana kekurangan fizikalnya. Jadi beliau mengambil langkah untuk mencari pendapatan sendiri dengan menjual makanan ringan di tepi jalan.
Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, begitulah usaha yang dilakukan oleh Lee dengan hanya menjaja ditepi jalan sehinggalah beliau mampu mengumpul modal untuk membuka perniagaan runcitnya sendiri. Yang lebih membanggakan ialah Lee hanya berusia 23 tahun ketika itu.
Walaupun sudah mempunyai perniagaan runcitnya sendiri, Lee tidak hanya berhenti disitu, tetapi berusaha untuk sentiasa menambah ilmu dalam bidang perniagaan tanpa henti. Beliau sering mengkaji dan memerhati apa yang digemari oleh para pelanggannya, disamping turut mengkaji teknik pemasaran dan sentiasa membandingkan harga yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga yang lain.
Setimpal dengan usaha yang dilakukan, perniagaan runcitnya berjaya melebarkan sayap sehingga dikenali ramai. Akan tetapi, sebagai seorang yang menyukai cabaran, Lee mahu mengembangkan perniagaannya dengan membuka pasar mini dengan mensasarkan golongan yang berpendapatan rendah sebagai pelanggan utamanya. Bagi memenuhi hasratnya itu, beliau telah menjual perniagaan runcitnya bagi mendapatkan modal untuk membuka pasar mininya sendiri. Pasar mini yang dibuka diberi nama Pasar Mini 99 dengan menjual barangan runcit dengan harga termurah dipasaran.
Strategi yang digunakan oleh beliau bagi menjual barangan dengan harga yang murah adalah dengan menjual barang dalam saiz yang kecil serta mengambil dan menyimpan stok barangan yang sering dibeli pelanggan sahaja. Dengan dedikasi yang tinggi serta kerja keras, beliau telah berjaya mengembangkan Pasar Mini 99 dengan membuka beberapa cawangan yang lain dan mula dikenali ramai. Apabila populariti Pasar Mini 99 semakin meningkat, Lee mula menjenamakan semula perniagaan pasar mininya kepada 99 Speedmart pada tahun 2000.
Selain berdedikasi dalam menjalankan perniagaan, beliau juga menjalinkan hubungan yang baik dengan pembekal-pembekal barangan perniagaannya. Pembekal-pembekal ini juga gemar berurusan dengan Lee terutamanya urusan yang berkaitan dengan pembayaran. Berbeza dengan pasar raya lain yang akan menangguhkan tempoh pembayaran mereka, Lee akan melakukan transaksi pembayaran dalam tempoh 30 minit setelah barangan tersebut sampai ke pasar rayanya. Hal ini bukan sahaja memudahkan urusan pembekal-pembekal ini malah ianya dapat menjaga reputasi perniagaannya dengan baik.
Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang merupakan pepatah yang sangat sesuai menggambarkan perjalanan hidup Lee. Bayangkan, seorang yang berkelainan upaya, yang hanya memulakan perniagaan dengan menjaja di tepi-tepi jalan ke sebuah pasar raya dan kini rangkaian pasar raya ini telah berkembang kepada lebih 1,000 cawangan di seluruh Malaysia! Hebat bukan?
Jika seorang yang bergelar OKU mampu menggenggam kejayaan, sudah tentu tiada alasan untuk kita yang sempurna sifat untuk tidak bekerja keras mencapai kejayaan yang kita impikan. Tingkatkan usaha anda, ayuh sama-sama kita berjaya!