Simpanan yang diperlukan ketika Masa tua.

Yang muda pasti akan tua. Itu adalah lumrah alam yang kita semua tidak boleh elak. Kebanyakkan dari kita tidak pernah ambil kisah langsung mengenai preparation atau persiapan diwaktu senja kelak. Soalan paling famous yang semua orang ada :

“Berapa banyak kena simpan setiap bulan, supaya masa depan kewangan aku tak rabak?”

Bermacam-macam jawapan dan tips yang pakar kewangan berikan. Ada yang cadangkan simpanan sebanyak 20% dan ada yang kata 50% daripada gaji bulanan kita sekarang. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit, tak kira lah korang nak simpan berapa banyak sekalipun, asalkan korang kena mula menabung dari sekarang. Yang paling penting, pastikan korang buat 5 jenis simpanan ni untuk kewangan yang kemudahan masa hadapan.

Tabung 1 : Simpanan kecemasan

Kita takkan tahu bila sesuatu perkara akan terjadi terutamanya perkara atau masalah yang kurang enak yang kita sendiri ingin elakkan. Pada kebiasaannya, isu utama yang paling membimbangkan adalah yang berkaitan dengan wang. Oleh yang demikian, amatlah penting bagi kita untuk menyiapkan diri bagi menghadapi masalah sedemikian dengan menyediakan tabung kecemasan.

Tabung kecemasan ini amatlah berguna pada waktu-waktu yang tak dapat dijangka. Antara perkara kecemasan seperti kereta korang ‘breakdown’  secara tiba-tiba atau yang paling menggerunkan ialah apabila dibuang kerja.

Sekarang, pasti korang mengerti mengapa pentingnya menabung khususnya untuk waktu-waktu kecemasan. Persoalannya, bagaimana cara untuk membahagikan wang gaji korang dengan cara yang betul?

Antara cara membahagikan wang gaji korang adalah dengan mengambil 10% sehingga 30% daripada gaji anda untuk tujuan simpanan waktu kecemasan. Jika korang rasa 10% sehingga 30% itu terlalu tinggi, anda boleh kurangkan jumlah itu mengikut kemampuan korang.

Tabung 2 : Simpanan perubatan

Untuk tabung kedua ini juga merupakan simpanan yang penting untuk korang ada. Tabung ini juga dikenali sebagai tabung perubatan atau Takaful.

Bak kata pepatah, sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Amat lah penting untuk membuat simpanan awal bagi menyediakan diri semasa sihat untuk waktu sakit nanti, supaya korang tak terbeban dengan kos perubatan yang tinggi di kemudian hari.

Korang boleh membuat simpanan sebanyak 5% sehingga 10% daripada gaji korang atau membuat simpanan mengikut kemampuan masing-masing, asalkan korang mula menabung dari sekarang sebelum terlambat.

Korang juga boleh menggunakan perkhidmatan syarikat takaful dalam menyimpan wang untuk waktu sakit kelak. Hal ini kerana syarikat takaful juga dapat berikan manfaat mengikut kehendak pelanggan.

Tabung 3 : Simpanan untuk pelaburan

Siapa yang tidak mahu jika wang simpanan mereka berkembang, bukan?

Terdapat banyak instrumen pelaburan yang hebat masa kini. Namun, sebelum korang mula dan layak melabur, korang perlu mempunyai wang simpanan terlebih dahulu.

Oleh kerana pelaburan memerlukan wang, apa yang perlu korang lakukan dari sekarang adalah memulakan tabung simpanan khusus untuk pelaburan di samping tabung-tabung simpanan yang lain. Kalau korang tidak mempunyai simpanan, bagaimana nak mulakan pelaburan, betul?

Antara pelaburan yang mudah dan tidak berisiko tinggi yang boleh korang mulakan adalah seperti ASB dan Unit Trust. Selain itu, korang juga boleh melabur dalam pasaran saham dan hartanah. Akan tetapi, pasaran-pasaran saham dan hartanah ini memerlukan korang untuk belajar dan mempunyai sekurang-kurangnya sedikit ilmu sebelum melabur.

Untuk anda mulakan tabung simpanan untuk tujuan pelaburan, anda boleh menyimpan sebanyak 5% sehingga 15% dari wang gaji anda atau membuat penyimpanan mengikut kemampuan.

Tabung 4 : Simpanan untuk tunaikan Haji / Umrah

Bagi yang beragama Islam, mengerjakan Haji adalah Rukun Islam yang ke-5, yang dituntut bagi golongan yang berkemampuan.

Namun begitu, bagi korang yang kurang berkemampuan, korang boleh mula membuat tabung simpanan khusus bagi mengerjakan haji supaya korang mempunyai peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari kelak, dengan bantuan Allah SWT.

Untuk memudahkan urusan menjejakkan kaki ke tanah suci, korang boleh menggunakan khidmat Bank Tabung Haji bagi tujuan penyimpanan wang. Sebelum korang boleh membuat penyimpanan wang, korang perlu membuka akaun bank di Tabung Haji terlebih dahulu dan proses ini memerlukan sedikit wang, tetapi anda tidak perlu risau kerana ianya murah sahaja.

Terdapat banyak kelebihan membuat simpanan wang di Tabung Haji tau. Bukan sahaja korang boleh mengerjakan Haji, tetapi korang juga boleh mendapat kadar dividen dan bonus yang baik. Bukan itu sahaja, korang juga boleh nikmati beberapa perkara yang lain seperti:

  • Simpanan yang dijamin 100% oleh kerajaan.
  • Simpanan yang berlandaskan syariah Islam
  • Dikecualikan daripada cukai.
  • Urusan zakat diuruskan oleh pihak Tabung Haji
  • Tiada had dalam menyimpan di Tabung Haji. Jadi korang boleh menyimpan mengikut kemampuan masing-masing.

Tabung 5 : Simpanan untuk persaraan

Pasti bila disebut mengenai simpanan di waktu persaraan, ramai yang akan tertumpu dan bergantung kepada KWSP. Akan tetapi, tahukah korang bahawa menurut kajian yang dilakukan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF),  kebanyakan pencarum KWSP mempunyai kurang RM50,000 pada usia 55 tahun. Hal ini kerana mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran wang lebih awal dari yang ditetapkan sebelumnya.

Pernah tak korang terfikir, berapa lama RM50,000 itu mampu bertahan? Cuba korang congak sendiri, kalau belanja selepas bersara, katakan, sebanyak RM800 sebulan, berapa lama wang simpanan KWSP korang tu boleh bertahan?

Jadi, bukan satu tindakan yang bijak untuk korang letakkan telur dalam satu bakul semata-mata. Korang perlu cari alternatif yang lain untuk menambah simpanan persaraan selain KWSP.

Untuk korang tahu berapa banyak yang perlu disimpan setiap bulan, korang perlu tetapkan terlebih dahulu berapa kos hidup selepas bersara. Dari situ, korang boleh mula menabung untuk hari tua kelak dan tidak hanya bergantung dengan wang KWSP atau mengharapkan pada sesiapa. Tidak salah untuk mulakan sikit-sikit dari sekarang tetapi salah jika tidak mulakan langsung.

Kesimpulannya, mula lah menabung dari sekarang sebelum korang menyesal di kemudian hari. Wang ini bukan untuk orang lain tetapi untuk kegunaan korang juga. Semoga perkongsian ini bermanfaat pada kita semua. Akhir kata, marilah kita sama-sama memulakan misi menabung dan yang paling penting adalah berdisiplin dalam melaksanakan dan menjayakan misi ini.

Leave a Comment on Simpanan yang diperlukan ketika Masa tua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *