(Sumber: stylecraze.com)
Intermittent Fasting (IF) atau puasa bersela atau puasa berselang-seli sudahpun dipraktikkan sejak azali dan merupakan sebahagian daripada budaya dan agama yang berbeza. Bagi penganut agama Islam, berpuasa bukan sahaja dianggap diet tetapi ibadat yang wajib dilaksanakan, khususnya pada bulan Ramadhan selama sebulan. Ianya menjadi Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan.
IF merupakan satu kaedah pengawalan waktu makan dan berpuasa secara sistematik, seterusnya dapat merangsang sistem fisiologi badan untuk membakar lemak secara natural. Ianya mula menjadi perbualan hangat yang sering diperkatakan setelah seorang selebriti Malaysia, Lisa Surihani telah mempraktikkan kaedah ini dan berjaya menurunkan berat badan selepas melahirkan.
Menurut kajian, terdapat beberapa jenis intermittent fasting yang berkesan. Antara kaedah yang paling popular adalah
1) Berpuasa selang sehari
Kaedah ini merupakan kaedah dimana anda perlu berpuasa secara berselang-seli. Sebagai contoh, jika anda mula berpuasa pada hari Isnin, hari seterusnya adalah pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad. Amalan berpuasa ini sama seperti puasa Nabi Daud iaitu selang sehari.
Namun begitu, kaedah berpuasa IF jenis ini bukan bermakna anda perlu menahan lapar dan dahaga kerana anda masih boleh mengambil makanan tetapi hanyalah
sebanyak 25% daripada keperluan tenaga seharian atau sekitar 500-600 kalori sehari. Pada hari anda tidak berpuasa, anda boleh makan seperti biasa.
2) Menghadkan masa makan
Terdapat beberapa kaedah bagi IF jenis ini. Antaranya ialah
• 12:12 (12 jam berpuasa, 12 jam makan)
• 16:8 (16 jam berpuasa, 8 jam makan)
• 18:6 (18 jam berpuasa, 6 jam makan)
• 23:1 (23 jam berpuasa, 1 jam makan) (
(Sumber: vectorstock.com)
Tempoh untuk pengambilan makanan boleh ditetapkan oleh anda sendiri. Sebagai contoh, jika anda memilih kaedah 12:12, bermakna anda boleh makan selama 12 jam. Jika anda mula makan pukul 7 pagi, anda boleh mengambil makanan sehingga pukul 7 petang sahaja dan perlu berpuasa selepas jam tersebut.
Berbeza dengan puasa sebenar seperti berpuasa pada bulan Ramadhan dimana umat Islam tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan dan minuman, kaedah ini membenarkan anda mengambil minuman tanpa kalori seperti air kosong, teh atau kopi tanpa gula ketika dalam tempoh ‘berpuasa’.
Disarankan kepada anda yang baru mula mencuba kaedah IF jenis ini untuk memulakan dengan 12:12 terlebih dahulu dan menukar kepada jenis yang lain mengikut keselesaan dan ketahanan tubuh badan anda.
3) Kaedah 5 dan 2
IF jenis ini juga dikenali sebagai 5:2, dimana anda boleh makan seperti biasa selama 5 hari dan perlu berpuasa selama 2 hari. 2 hari berpuasa ini boleh dilakukan secara selang sehari atau beberapa hari asalkan tidak dilakukan secara berturut-turut. Kaedah IF jenis ini sama seperti amalam puasa sunat Nabi Muhammad SWT, yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis.
Sama seperti jenis IF yang lain, berpuasa untuk kaedah ini masih boleh mengambil makanan tetapi hanyalah sebanyak 25% daripada keperluan tenaga seharian atau sekitar 500-600 kalori sehari dan pada hari anda tidak berpuasa, anda boleh makan seperti biasa.
Jenis-jenis intermittent fasting
(Sumber: ncbi.nlm.nih.gov)
Secara amnya, berpuasa diakui oleh kebanyakkan agama dan ahli kesihatan sebagai cara terbaik untuk mengawal berat badan dan menjaga kesihatan, serta satu proses untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.
(Sumber: ncbi.nlm.nih.gov)
Beberapa kajian telah dilakukan untuk menunjukkan keberkesanan intermittent fasting dalam menurunkan berat badan seterusnya mengurangkan risiko pelbagai jenis penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi serta mengurangkan risiko penyakit arteri yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa berpuasa menjadikan badan lebih sensitif kepada hormon insulin. Insulin ialah hormon yang dirembeskan ketika makan dan berfungsi untuk menyimpan gula dalam badan sebagai sumber tenaga. Badan akan mula membakar lemak untuk menghasilkan tenaga apabila simpanan gula dalam badan habis dan seterusnya mencapai penurunan berat badan. Selain itu, sensitiviti badan terhadap insulin juga dapat mengurangkan risiko kencing manis. Namun begitu, bukti saintifik terhadap kajian ini masih belum kukuh kerana kebanyakkan kajian yang dilakukan adalah terhadap haiwan, bukannya keatas manusia.
Dari perkongsian seorang pengamal perubatan di Malaysia, Doktor Siti Aniza Basir di laman Facebooknya ada menyatakan bahawa terdapat kajian yang dilakukan keatas dua kumpulan tikus makmal yang diberi ‘High Fats, High Calories’ diet untuk 100 hari. Kumpulan pertama diberi makan siang dan malam manakala kumpulan kedua diberi makan selama 8 jam sahaja pada waktu siang. Setelah 100 hari, keputusan menunjukkan bahawa kumpulan kedua mengekalkan berat badan sebelumnya. Hal ini terbukti bahawa IF dapat membantu menjaga berat badan selain dapat memberikan kesihatan yang baik seperti mengurangkan risiko serangan jantung dan kesannya dapat dirasai dalam jangka masa yang panjang.
Namun begitu, terdapat golongan yang tidak sesuai untuk melalukan IF seperti
• Pesakit diabetes yang tidak terkawal
• Pesakit “malnourished” seperti pesakit kanser dan eating disorder
• Ibu mengandung dan sedang menyusu
• Mereka yang merancang untuk mengandung
• Tekanan darah rendah
Golongan ini disarankan untuk mendapatkan nasihat dari pakar perubatan berdekatan sebelum melakukan IF.