Assalamualaikum and Hai korang, kali Ini Miss G nak kongsi bagaimana nak pupuk sifat membaca bukan sekadar untuk anda, tetapi ia juga anda boleh guna tips ini untuk anak-anak. Dalam Islam sekalipun, Islam menggalakkan masyarakat untuk jatuh cinta pada ilmu. Macam mana untuk dapatkan ilmu?Tidak lain dan tidak bukan melalui talaqi dengan para guru, dengan membaca buku-buku dan para kitab dan sebagainya cara untuk menambahkan ilmu di dada. Adat ilmu, semakin banyak tahu, semakin banyak yang kita belum tahu.
Tetapi, macam mana cara kita nak mendidik diri kita untuk mudah membaca buku? Berikut merupakan tip dan kaedah berkesan untuk memupuk sifat ingin membaca dalam diri dengan berkesan;
1 -Kenal Pasti Minat Yang Ada Dalam Diri Kita
Membaca ini boleh diibaratkan seperti hobi, jadi kita perlu mencari genre apa yang kita minat agar budaya dan sifat membaca ini kekal lama di dalam diri kita. Pertama kita mestilah mengenal diri kita dengan lebih mendalam, hanya diri kita yang mengenal diri kita. Oleh itu, untuk pergi dengan lebih jauh dan mendalam, individu tersebut perlu mengenal apa yang mereka minat dan apa yang mereka lebih cenderung.
Begitu juga dengan kaedah mencari identiti dengan buku, carilah apa yang anda minat untuk anda dekat dengan buku.
Sebagai contoh, anda meminati genre buku bersifat Sains, Sejarah, ataupun Motivasi, jadi anda boleh perlahan-lahan untuk mendekati buku yang anda minat. Hal ini kerana, kita cinta dengan apa yang kita suka!
2 – Kerapkan Diri Ke Kedai Buku
Apa kata jika hujung minggu anda yang seringkali anda habiskan di mall berjalan-jalan dan membeli belah, tambah lagi satu aktiviti anda sebelum anda balik ke rumah itu dengan berkunjung ke kedai buku yang berada di mall itu.Ajarkan diri sentiasa ke kedai buku atau Pesta Buku atau mana –mana tempat yang dipenuhi dengan buku. Kenapa dengan tempat macam ni?Apabila kita berada di tempat yang dipenuhi buku, orang yang berada dalamnya juga akan melakukan aktiviti membaca buku secara tidak langsung diri kita akan mencari buku untuk dibaca. Kaedah ini dipanggil “Terpengaruh dengan Sekeliling”.
Ramai pelajar akan menjadi apa yang ada di sekitarnya. Jika mereka bergaul dengan mereka yang cinta akan ilmu, maka ilmu mereka juga bertambah dan begitulah juga sebaliknya.
Oleh sebab itu, pentingnya untuk hidup dalam keadaan sekeliling yang menghidupkan diri kita ke arah yang lebih berfaedah sesuai dengan apa yang kita minat.
3 – Cerminkan Cerita
Apabila tahu genre minat dalam pembacaan buku dan telah hidup dalam keadaan sekeliling yang dipenuhi buku, maka langkah ketiga adalah dengan cerminkan cerita.
Macam mana dengan cerminkan cerita ni? Jadikan sahabat yang berada di depan kita sebagai cermin, dalam erti kata lain kita cerita apa yang kita baca pada mereka.
Apa yang telah kita baca, kita cuba ceritakan balik pada orang lain, kawan kita atau dengan sesiapa sahaja dengan tujuan untuk berkongsi apa ilmu yang kita ada dan yang paling penting untuk mengingati apa yang kita baca.
Mengikut kajian yang dibuat oleh pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah berkaitan dengan tabiat membaca dari kalangan pelajar di negara Malaysia ialah mereka hanya membaca hanya 4 buku setahun berbanding dengan beberapa negara lain seperti Australia (180 buah) dan Indonesia (94 buah).
Ia adalah satu pernyataan yang sedih buat para remaja pada masa sekarang, atau mungkin boleh menjadi penyuntik semangat buat remaja bangkit mengubah kajian yang dilakukan dengan menghidupkan budaya membaca buku.
Oleh sebab itu, kita mestilah mencerminkan iaitu dengan menghadap apa yang ada di depan kita dan terus bercerita apa yang kita baca.
Lagi menyeronokkan adalah apabila mereka yang mendengar bertambah dan sama-sama memperbaiki apa yang kita baca dan ini bermakna kita sedang menambah ilmu baharu dalam diri kita.
4 – Biasakan Diri Meluangkan Masa Dengan Buku
Perkara ini adalah satu adat yang semakin pudar dalam masyarakat kita. Saban hari jika kita lihat di sekitar kita, budaya membaca buku semakin luntur.Budaya ini sekarang ibarat telah ditukar kepada Budaya Membaca Telefon. Ramai yang menjadikan Facebook, Whattsapp, Twitter sebagai bahan bacaan mereka.
Oleh sebab itu budaya ini semakin hari semakin hilang dari pandangan masyarakat. Siapa yang ingin hidupkan kalau bukan kita yang dahulukan? Jadi, cuba hidupkan masa kita yang terluang dengan buku. Contohnya pada hujung minggu, disiplin masa dengan menetapkan sejam atau dua jam untuk membaca buku.
Mulakan dengan membaca apa yang kita minat dan kemudian secara automatik buku lain akan terasa untuk dibaca bila dipupuk dan dididik dengan baik.
Keadaan ini kita akan lihat biasanya sewaktu menunggu giliran untuk menggunting rambut atau menunggu giliran untuk dipanggil doktor di Klinik. Perkara ini secara tidak langsung dapat diisi dengan amalan membaca buku.
Sekurang-kurang masa yang terluang tidak dibiarkan begitu sahaja, namun diisi dengan perkara yang berilmu dan perkara yang menambahkan ilmu pengetahuan kita.
5 – Kawanku Adalah Buku
Akhirnya, biasakan diri kita sentiasa bersama buku di mana kita berada. Ini juga akan memberi tanggapan pada orang lain dengan niat untuk mewujudkan suasana masyarakat yang cinta kepada amalan membaca buku.
Walau di mana kita berada dan berjalan, cuba ajarkan diri dengan sentiasa membawa buku di tangan. Secara tidak langsung, jika masa terluang ada kita akan terus membaca apa yang ada di tangan kita.
Begitu juga dengan kawan-kawan yang kita ada. Cuba bergaul dengan mereka yang cinta untuk membaca buku dan secara tidak langsung mereka juga adalah semangat kepada kita untuk terus membaca.Mungkin hal ini akan menjadi pendorang secara halus kepada kita untuk terus meminati buku dalam proses menambah ilmu.
Kesimpulannya, cubalah jadi orang pertama dalam sejuta. Kerana pembentukan masyarakat yang kita inginkan adalah bermula dengan diri kita sendiri.