Apakah Itu PCOS, Gejala Serta Kesannya Terhadap Kesuburan
(Sumber: myhealth.gov.my)
Sindrom ovari polisistik (Polycystic ovary syndrome) atau nama singkatannya PCOS adalah salah satu penyakit yang ‘common’ dan hanya boleh menyerang golongan wanita dalam lingkungan umur reproduktif atau subur. Ianya adalah satu keadaan dimana terdapat banyak kantung-kantung kecil atau ‘follicles’ yang tersusun di dalam ovari yang menyerupai rantai leher mutiara jika kita lihat dari imbasan ultrasound. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sebanyak 5%-10% wanita dalam lingkungan usia reproduktif akan menghidapi penyakit ini.
PCOS ini berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan. Punca sebenar mengapa hormon ini tidak seimbang masih belum diketahui sehingga kini. Namun, terdapat kajian yang dijalankan di Sweden yang menunjukkan bahawa anak perempuan kepada ibu yang menghidapi PCOS mempunyai risiko sebanyak 5 kali ganda untuk menghidapi penyakit yang sama. Hal ini menunjukkan bahawa genetik turut memainkan peranan penting untuk penyakit ini.
Seperti yang dinyatakan diatas, PCOS ini adalah disebabkan oleh hormon yang tidak seimbang iaitu level hormon lelaki (testosteron) yang lebih tinggi dari normal. Untuk pengetahuan anda, ovari juga akan menghasilkan hormon lelaki tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Paras hormon testosteron yang tinggi ini menyebabkan pesakit akan mempunyai rupa fizikal seperti lelaki seperti hirsutism iaitu mempunyai bulu di muka dan badan yang berlebihan, kepala botak dan kulit berminyak serta berjerawat.
(Sumber: conquerpcos.org)
Hormon testosteron yang tinggi juga akan mengganggu fungsi normal telur iaitu ovum yang terdapat di dalam ovari, menyebabkan kantung yang mengelilingi telur tidak dapat berkembang kepada saiz yang diperlukan untuk berlakunya ovulasi. Ovulasi adalah proses untuk mengeluarkan telur dari ovari ke rahim. Keadaan ini juga akan mengakibatkan hormon lain seperti estrogen, progesterone, pituitary luitinizing (LH) dan folikel-merangsang hormone (FSH) menjadi tidak seimbang seterusnya mengganggu kitaran haid yang normal. Apabila ovulasi tidak berlaku, maka pesakit tidak dapat mengandung kerana tiada telur yang dikeluarkan untuk proses persenyawaan.
Antara gejala-gejala PCOS yang lain termasuklah:
- Haid tidak teratur atau tiada langsung
- Berat badan menjadi berlebihan atau obesiti
- Sukar untuk hamil
- Kemurungan dan masalah psikologi
Namun, perlu diingatkan gejala ini berbeza bagi setiap pesakit. Ada yang mengalami gejala yang melampau, ada juga yang mengalami gejala sedikit serta ada juga yang tidak mempunyai gejala sama sekali. Keadaan ini menyukarkan doktor untuk membuat diagnosis serta memerlukan masa yang sedikit lama untuk mengenalpasti PCOS terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang gejala.
Terdapat kriteria yang diperlukan sebelum seseorang itu disahkan menghidap PCOS. Diagnosis PCOS dikenalpasti jika pesakit mengalami mana-mana dua daripada tiga yang berikut:
- Haid tak teratur atau tiada langsung
- Pertumbuhan bulu di muka dan badan yang berlebihan atau ujian darah yang menunjukkan kadar testosteron yang lebih tinggi dari wanita biasa
- Scan ultrasound yang menunjukkan ovari polisistik
(Sumber: myhealth.gov.my)
Terdapat beberapa komplikasi untuk jangka masa yang panjang jika PCOS ini tidak dirawat. Antara yang paling utama ialah:
- Diabetes
Insulin adalah hormon yang diperlukan oleh badan untuk mengawal tahap gula di dalam darah. Untuk pesakit PCOS, insulin tidak dapat berfungsi secara normal, seterusnya akan menyebabkan gula di dalam darah menjadi tinggi. Dan jika pesakit tidak mengawal kadar pengambilan gula atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh menghidap kencing manis.
- Obesiti
Tahap gula yang terlalu tinggi di dalam darah akan menyebabkan badan bertindakbalas untuk berusaha menurunkan tahap gula ini dengan menghasilkan lebih banyak insulin. Akan tetapi, disebabkan insulin tidak dapat berfungsi, maka tahap insulin akan menjadi tinggi di dalam darah seterusnya akan menyebabkan pertambahan berat badan.
- Tekanan darah tinggi
Pesakit PCOS juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit tekanan darah tinggi disebabkan oleh masalah kencing manis serta obesiti. Jika tekanan darah tinggi tidak dirawat, pesakit berisiko untuk menghidap masalah jantung pada masa akan dating.
- Kanser
Jika pesakit tidak dating haid untuk jangka masa yang panjang, ianya akan menyebabkan dinding rahim menjadi lebih tebal dari biasa. Hal ini akan meningkatkan risiko kanser rahim bagi sebilangan kecil wanita yang menghidap PCOS.
- Kemurungan dan perubahan mood
Dalam jangka masa yang Panjang, pesakit berkemungkinan mengalami kemurungan serta perubahan mood disebabkan oleh gejala yang dihadapi terutamanya berkaitan dengan tahap kesuburan. Namun begitu, usahlah anda terlalu memikirkan masalah ini kerana setiap masalah mesti ada jalan keluar.
(Sumber: bharian.com.my)
Bila ditanya mengenai rawatan bagi penyakit ini, buat masa sekarang masih tiada rawatan khusus untuk kesembuhan penyakit ini. Rawatan yang diberikan adalah berdasarkan gejala-gejala yang dialami bertujuan untuk mengurangkannya serta mencegah komplikasi yang boleh berlaku disebabkan oleh PCOS seperti yang dibincangkan diatas. Selain daripada ubat yang diberikan oleh doktor, rawatan yang paling berkesan adalah dengan mengurangkan berat badan, bersenam dan mengubah gaya hidup yang lebih sihat.
Rujukan:
Polycystic Ovary Syndrome (PCOS), Portal MyHealth (2019)
Polycystic ovary syndrome: a review of treatment options with a focus on pharmacological approaches, NCBI (2013)